

Beberapa hari lalu, tular berita mengenai semua premis perniagaan termasuk pasar raya, restoran makanan segera dan kedai serbaneka di Kelantan perlu menutup operasi pada 1 Syawal ini.
Namun, orang Kelantan tidak perlu risau untuk mengisi minyak kerana sebanyak 248 stesen minyak di Kelantan termasuk di kawasan sempadan dibuka seperti biasa pada hari pertama raya.
Perkara itu disahkan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail.

Menurutnya, kesemua premis itu akan beroperasi sehingga pukul 1 pagi dan hanya beberapa stesen minyak memohon sedikit kelewatan pembukaan premis.
“Selain itu, ada beberapa premis memohon untuk melanjutkan tempoh perniagaan. Permohonan yang diterima itu sudah diluluskan. Anggota KPDN akan membuat pemantauan berterusan bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi,” katanya



