KUALA SELANGOR, 16 MAC: Seramai 1,102 anak yatim dari daerah Kuala Selangor hari ini menerima sumbangan RM165,300 daripada Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) sempena Aidilfitri.
Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli menyerahkan sumbangan berkenaan di Masjid Taman Alam Jaya, Puncak Alam di sini.
Dalam majlis sama, Tengku Amir turut berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berjumlah RM652,470 kepada Yide.

Sumbangan menerusi peruntukan Baitulmal Mais dan Tabung Amanah Mais bertujuan menyantuni 12,380 anak yatim pada tahun ini.
Raja Muda juga berkenan menyaksikan penyerahan cek cura wakaf Fisabilillah dari Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) sebanyak RM50,000 bagi membaik pulih pusat dialisis Mais cawangan Sungai Besar.

Sementara itu, penerima Fatini Mohd Isram, 14, yang kehilangan bapa tujuh tahun lalu berazam menyimpan duit sumbangan di dalam bank dan tidak menggunakan untuk persiapan Aidilfitri.
“Sambutan Hari Raya kami hanya seadanya sahaja. Ibu pun sudah belikan baju raya. Jadi duit ini saya mahu simpan dalam bank sahaja,” kata anak bongsu daripada dua beradik ini.

Penerima Mohd Ramali Fitri Ibrahim, 11, pula meluahkan rasa teruja apabila berkesempatan berjabat tangan dengan Tengku Amir.
“Sejak dapat surat (untuk terima sumbangan) saya sudah teruja. Setiap hari saya kira hari untuk datang ke sini berjumpa dengan Raja Muda.
“Duit sumbangan ini saya mahu simpan dan tidak mahu guna. Ini kenangan manis,” kata murid Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Maharajalela, Bukit Cherakah.


The post Aidilfitri: Lebih 1,000 anak yatim daerah Kuala Selangor terima sumbangan Yide appeared first on Selangorkini.


