
PETALING JAYA – Impian seorang anak daripada keluarga kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Putra Malaysia (UPM) berdepan kekangan apabila keluarganya perlu menyediakan RM2,143 bagi yuran semester pertama sebelum pendaftaran bulan depan.
Menerusi hantaran dimuat naik pertubuhan kebajikan, 3rd Force Pasir Mas di Facebook, Aimi Batrisya Amiruddin atau mesra dipanggil Angah berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.75 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025.
Menurutnya, kecemerlangan itu membolehkan anak kedua daripada tiga beradik berkenaan menerima tawaran mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Sastera Bahasa dan Linguistik Inggeris dengan Kepujian di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM bagi sesi akademik 2026/2027.
Berdasarkan surat tawaran UPM yang dimuat naik, Aimi dijadualkan mendaftar pada 27 September depan dengan bayaran yuran semester pertama sebanyak RM2,143.
Bagaimanapun, di sebalik kegembiraan menerima tawaran tersebut, keluarganya kini perlu berusaha menyediakan wang berkenaan selain kos membeli komputer riba serta kelengkapan untuk memasuki asrama.
“Bapa Aimi, Amiruddin hanya mencari rezeki dengan menjual burger di kampung selain mengambil upah mencuci masjid berhampiran. Pendapatan diperoleh dianggarkan sekitar RM850 sebulan, manakala ibunya, Siti Isah merupakan suri rumah sepenuh masa.
“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Seorang anak yang membesar dalam serba kekurangan, tetapi tidak pernah menjadikan kemiskinan sebagai alasan untuk tidak cemerlang,” katanya.
Difahamkan, abang sulung Aimi baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang Pendidikan Jasmani di UPM dan kini menunggu penempatan sebagai guru, manakala adik bongsunya masih belajar di Tingkatan Lima.
Aimi turut menyimpan impian untuk menjadi seorang pendidik seperti abangnya selepas menamatkan pengajian kelak.
Perkongsian tersebut kemudiannya mendapat perhatian Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir yang tampil memberi jaminan bahawa bantuan akan diberikan kepada Aimi.
“Insya-Allah kita akan bantu. Pihak UPM akan berhubung dengan pelajar,” katanya menerusi ruangan komen hantaran berkenaan.
Dalam masa yang sama, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM turut memaklumkan pihaknya akan menghubungi Aimi bagi menghulurkan bantuan sewajarnya.
“Assalamualaikum, terima kasih atas makluman yang diberikan. Insya-Allah kami daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM akan menghulurkan bantuan sewajarnya dan akan terus menghubungi pelajar,” katanya di ruangan komen. – KOSMO! ONLINE
The post Aimi anak penjual burger perlu RM2,143 daftar UPM appeared first on Kosmo Digital.


