
ALOR SETAR – Simpanan air di tiga empangan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berada pada paras 40.13 peratus setakat semalam susulan cuaca panas dan kering berpanjangan.
Jumlah keseluruhan simpanan air ketika ini ialah 490,789 ekar kaki merangkumi Empangan Pedu 357,195 ekar kaki (40.82 peratus), Empangan Muda 32,400 ekar kaki (25.92 peratus) dan Empangan Ahning 101,194 ekar kaki (45.38 peratus).
Menurut MADA, taburan hujan di kawasan tadahan Empangan Pedu berkurangan hampir 30 peratus berbanding purata, susulan keadaan cuaca panas dan kering yang berpanjangan.
“Pelepasan air empangan secara terkawal dilaksanakan dari Januari hingga Mei lalu bagi menyokong penanaman semula padi musim 2/2025 susulan kejadian banjir yang menjejaskan sebahagian kawasan sawah.
“Bagi mengurangkan penyusutan simpanan air, MADA menyarankan pesawah memanfaatkan air hujan yang tertakung di kawasan sawah untuk pengairan padi musim 1/2026 tanpa pelepasan air empangan bagi tujuan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pelepasan air secara berhemah hanya dilaksanakan bagi memenuhi keperluan domestik dan industri serta mengekalkan paras air dalam saluran untuk pengukuhan tebing.
Dalam pada itu, MADA meneruskan pengoperasian 117 pam guna semula bagi memanfaatkan air dalam sistem saliran dan sungai untuk menyokong keperluan tanaman.
MADA turut mengendalikan struktur kawalan air dan sistem pengairan bagi meningkatkan kecekapan pengagihan air ke kawasan sawah.
Selain itu, lima siri Operasi Pembenihan Awan dilaksanakan sejak Februari lalu dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Meteorologi dan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah.
Susulan permohonan MADA pada 15 September lalu, Nadma bersetuju melaksanakan OPA di kawasan tadahan Empangan Muda dan Pedu dari Isnin hingga Khamis ini.
MADA memahami kebimbangan pesawah mengenai bekalan air bagi musim penanaman akan datang dan akan terus memperkukuh pengurusan sumber air serta menyelaras tindakan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta agensi berkaitan. – KOSMO! ONLINE
The post Air empangan susut, pesawah disaran guna air hujan appeared first on Kosmo Online.


