Air mata gugur, risau tak layak jejak Tanah Suci

LocalTravel
5 May 2026 • 9:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Air mata gugur, risau tak layak jejak Tanah Suci
Image from: Air mata gugur, risau tak layak jejak Tanah Suci
Afdzal Rusmi salah seorang jemaah yang berkongsi detik emosi selepas pesawat dinaiki terpaksa melakukan pendaratan tidak dijadualkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Muscat, Oman.

MAKKAH – “Sampai di Oman, air mata jantan ini berlinangan. Kita ini pendosa, risau takut tidak layak ke bumi Makkah.”

Demikian luahan jemaah haji Malaysia, Afdzal Rusmi, 43, yang berkongsi detik emosi selepas pesawat dinaiki mereka terpaksa melakukan pendaratan tidak dijadualkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Muscat, Oman susulan masalah teknikal pada enjin pesawat.

Pesawat yang sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah itu bagaimanapun berjaya dikendalikan dengan tenang oleh pasukan Amal by Malaysia Airlines (MAS).

Ujian buat Duyufurrahman

Menurut Afdzal, suasana dalam kalangan jemaah kekal terkawal meskipun berdepan situasi luar jangka, malah rata-rata menerima kejadian itu sebagai ujian dalam perjalanan memenuhi panggilan Ilahi.

“Tiada apa nak dikongsi, tapi pasukan Amal by MAS memang cekap mengawal keadaan. Kredit kepada mereka.

“Asalkan semua selamat, kami okey saja. Syukur Alhamdulillah. Ini semua ujian ALLAH untuk menjadi duyufurrahman,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau turut mendedahkan jemaah hanya dimaklumkan mengenai masalah teknikal tersebut selepas pesawat selamat mendarat di Muscat.

“Semua nampak tenang sebab kami sudah selamat mendarat baru tahu ada masalah enjin. Cuba kalau dimaklumkan ketika masih di udara, mungkin semua sudah solat taubat dan istighfar,” selorohnya.

Kebajikan jemaah terjaga

Dalam pada itu, Afdzal memuji kecekapan Malaysia Airlines yang menguruskan kebajikan jemaah dengan baik walaupun pada awalnya berlaku sedikit kekeliruan sebaik tiba.

Sepanjang tempoh transit di Oman, kesemua jemaah ditempatkan di City Seasons Hotel Muscat yang menyediakan kemudahan selesa serta makan dan minum.

“Makanan untuk sarapan dan makan malam juga disediakan. Layanan memang sangat baik, syukur sangat-sangat,” katanya.

Status ihram

Menyentuh mengenai ibadah, Afdzal memaklumkan beliau belum berniat ihram kerana pesawat belum tiba di miqat Qarnul Manazir ketika kejadian berlaku.

Bagaimanapun, terdapat segelintir jemaah yang telah berniat lebih awal sebagai langkah berjaga-jaga.

“Jadi mereka yang sudah berniat perlu menjaga pantang larang ihram sepanjang tempoh transit ini,” jelasnya.

Berdasarkan maklumat terkini, kesemua jemaah dijadualkan bergerak ke lapangan terbang menaiki lima bas pada jam 9 malam waktu tempatan.

Perjalanan ke Jeddah dijangka diteruskan sekitar jam 3.10 pagi pada 6 Mei waktu tempatan.

View Original Article