Air pasang besar hanyutkan struktur Pantai Impian Kemasin

LocalEnvironment
10 Dec 2025 • 10:13 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Keadaan di Pantai Kemasin selepas air pasang dan ombak menghempas persisir pantai. - Foto:SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID Gambar kecil dari kiri Mohd Zainuddin, Mohd Rahimi dan Noraini
image is not available
Pengunjung membantu mengalihkan kerusi yang berada di atas konkrit runtuh. - Foto:SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
image is not available
Lantai konkrit yang menempatkan kerusi di pantai rosak akibat air pasang. - Foto:SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

BACHOK – Fenomena air pasang besar yang melanda pada musim tengkujuh telah menyebabkan hakisan di Pantai Impian Kemasin, di sini, sehingga meruntuhkan struktur konkrit yang menempatkan kemudahan tempat duduk pengunjung di lokasi riadah popular itu.

Kejadian tersebut berpunca daripada ombak setinggi hampir empat meter yang membawa arus kuat dan menghakis tebing pantai.

Seorang peniaga, Mohd Rahimi Haikal Mohd Azmi, 25, berkata, kejadian air pasang berlaku beberapa hari sebelum meningkat lebih besar pada Ahad, antara jam 11 malam hingga 4 pagi.

“Air pasang waktu malam dan ombak naik sampai ke kawasan trek joging sejauh 30 meter dari pantai.

“Lantai konkrit tempat kerusi batu pengunjung rosak dan runtuh akibat dipukul arus,” katanya ketika ditemui di pantai itu pada Rabu.

**media[3367093]**

Menurutnya, air pasang turut membawa sampah laut seperti botol minuman, tali jala, pelampung dan ranting kayu yang hanyut dan tertinggal di pesisir pantai.

Sementara itu, seorang nelayan, Mohd Zainuddin Mohd Salleh, 40, berkata, fenomena air pasang ketika musim hujan dan bulan mengambang adalah perkara biasa, namun ini kali pertama kejadian tersebut merosakkan kemudahan awam.

“Biasanya air pasang berlaku setiap kali musim tengkujuh dan penduduk memang berhati-hati.

“Kerusi-kerusi ini sebenarnya sudah pernah dialihkan sebelum ini kerana pantai makin dekat. Dahulu laut jauh kira-kira 500 meter, sekarang sudah sampai ke kawasan riadah orang ramai,” katanya.

**media[3367092]**

Bagi pengunjung, Noraini Zakaria, 54, dari Kampung Wakaf Tanjong, runtuhan tersebut menjadi risiko kepada orang ramai yang datang bersenam pada waktu pagi atau bersiar-siar bersama keluarga pada waktu petang.

Suri rumah itu berharap pihak berwajib segera turun padang untuk melakukan kerja-kerja baik pulih dan mengambil langkah mengukuhkan tebing di kawasan pantai yang menjadi tumpuan awam itu.

“Kawasan ini ada orang berniaga dan ramai juga berjoging, tetapi jika ombak naik sampai ke trek, memang bahaya.

“Kami harap pihak berkuasa dapat membaiki segera dan mencantikkan semula tempat ini,” katanya.