Air Sungai Jegor tiba-tiba jernih sebelum ikan mati terapung

LocalEnvironment
11 Jun 2026 • 4:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Air Sungai Jegor tiba-tiba jernih sebelum ikan mati terapung
Dua pegawai dari Unit Aduan, Bahagian Operasi 2 JAS dihantar ke lokasi dan bertemu wakil penduduk bagi mendapatkan maklumat berkaitan kejadian. Foto:JAS
Image from: Air Sungai Jegor tiba-tiba jernih sebelum ikan mati terapung
Penduduk Kampung Padang Kijang, Mukim Alor Pasir di Tanah Merah mendakwa perubahan luar biasa berlaku pada Sungai Jegor apabila air sungai berkenaan menjadi terlalu jernih sehingga menampakkan dasar sebelum ratusan ekor ikan ditemukan mati dan terapung. Foto:JAS

TANAH MERAH - Penduduk Kampung Padang Kijang, Mukim Alor Pasir di sini mendakwa perubahan luar biasa berlaku pada Sungai Jegor apabila air sungai berkenaan menjadi terlalu jernih sehingga menampakkan dasar sebelum ratusan ekor ikan ditemukan mati dan terapung.

Timbalan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan, Mohamad Zamzani Ibrahim berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian ikan mati di sungai itu pada Rabu sebelum menghantar pasukan pegawai penyiasat bagi menjalankan pemeriksaan segera.

Menurut beliau, dua pegawai dari Unit Aduan, Bahagian Operasi 2 JAS dihantar ke lokasi dan bertemu wakil penduduk bagi mendapatkan maklumat berkaitan kejadian.

"Berdasarkan maklumat wakil penduduk, keadaan air sungai berubah menjadi terlalu jernih sehingga dasar sungai dapat dilihat sebelum ikan ditemui dalam keadaan hampir mati dan ada yang telah mati.

"Hasil pemeriksaan mendapati masih terdapat sisa ikan mati di tebing sungai," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohamad Zamzani memberitahu, seorang wakil penduduk, Mohd Nordin Yahya, 40, dari Kampung Alor Pasir memaklumkan perubahan keadaan sungai mula disedari penduduk kira-kira jam 7 pagi pada Rabu.

**media[3547830]**

Ujarnya, pasukan penyiasat turut menjalankan pemantauan udara menggunakan dron bagi mengenal pasti sebarang aktiviti atau kemungkinan punca yang menyebabkan perubahan kualiti air sungai tersebut.

"Pensampelan awal kualiti air turut dilakukan menggunakan peralatan YSI ProDSS bagi mendapatkan bacaan parameter secara in situ sebagai pemantauan awal.

"Selain itu, sampel air sungai diambil untuk analisis kimia membabitkan beberapa parameter penting termasuk permintaan oksigen biokimia (BOD), pepejal terampai, permintaan oksigen kimia (COD), minyak dan gris," katanya.

Jelas beliau, sampel berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis lanjut bagi menentukan kandungan serta tahap kualiti air sungai selain membantu mengenal pasti punca kejadian.

Ujarnya, semasa siasatan dijalankan, keadaan air sungai didapati keruh dan kembali normal seperti sebelum kejadian.

"Kami akan meneruskan pemantauan dan tindakan susulan selepas keputusan analisis kimia diperoleh," katanya.

View Original Article