airasia academy, MyCreative Ventures tawar peluang latihan kepada tenaga kerja kreatif Malaysia melalui Program Bina Kerjaya

17 Nov 2023 • 12:25 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

airasia academy, MyCreative Ventures tawar peluang latihan kepada tenaga kerja kreatif Malaysia melalui Program Bina Kerjaya

zulfadli

17/11/2023 - 12:25

KUALA LUMPUR 17 Nov - airasia academy, cabang teknologi pendidikan dan kepimpinan Capital A, menjalin kerjasama dengan MyCreative Ventures, sebuah syarikat pelaburan milik Kerajaan Malaysia yang dimandatkan untuk menyokong industri kreatif tempatan dalam memperkasa pembangunan diri rakyat Malaysia melalui Program Bina Kerjaya.

Kerjasama tersebut sebahagian usaha syarikat itu dalam meningkatkan kecekapan pasaran pekerjaan di Malaysia dengan menyediakan kemahiran yang diperlukan tenaga kerja tidak formal dan masa hadapan dalam mendapatkan pekerjaan formal di dalam landskap pekerjaan dinamik hari ini, sejajar dengan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0).

Presiden (Pelaburan & Usaha Niaga) Capital A, Aireen Omar, berkata, pihaknya memainkan peranan penting dalam membawa perubahan dalam sektor pendidikan konvensional dengan menawarkan pilihan lebih mudah untuk kursus yang mempunyai permintaan tinggi, terutamanya dalam menyokong keperluan Malaysia untuk mengisi kekosongan IR 4.0.

"Kami berhasrat untuk menyumbang lebih banyak, terutamanya melalui perkongsian strategik bersama-sama MyCreative Ventures ini, dalam memastikan bakat kreatif Malaysia memperoleh kebolehpasaran yang tinggi serta berpengetahuan dalam kemahiran teknologi, selaras dengan perkembangan medium kreatif pada masa kini," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative Ventures, Zainariah Johari pula berkata, pihaknya memahami kepentingan untuk melengkapkan rakyat Malaysia dengan kemahiran relevan supaya mereka berupaya menjadi tenaga kerja kreatif yang lebih pelbagai dan mampan untuk masa hadapan.

"Industri kreatif di Malaysia dipenuhi dengan bakat serta potensi yang besar, dan ia menjadi tanggungjawab kami untuk memupuk dan menyokong generasi profesional kreatif akan datang.

"Kerjasama dengan airasia academy membolehkan kami memanfaatkan kekuatan kedua-dua organisasi dalam memperkasakan rakyat Malaysia, dan kami mengalu-alukan impak positif yang akan dibawa oleh kerjasama ini pada masa hadapan," katanya.

Program Bina Kerjaya akan menawarkan peluang latihan khusus kepada tenaga kerja kreatif Malaysia dalam pelbagai bidang, termasuk pemasaran digital, kejuruteraan perisian, infrastruktur awan, keselamatan siber, analisis data dan ekosistem produktiviti Google.

Melalui kerjasama itu, para peserta akan mendapat akses kepada pendidikan komprehensif yang akan meningkatkan kemahiran serta kebolehpasaran mereka.

Sebagai rakan strategik dalam usaha ini, MyCreative Ventures akan memainkan peranan penting dalam mempromosikan Program Bina Kerjaya, di samping menyokong usaha pemasaran dalam menjayakan program itu.

airasia academy dan MyCreative Ventures juga akan meneroka inisiatif kerjasama lain selain Program Bina Kerjaya pada masa hadapan, sejajar dengan objektif bersama mereka dalam mempromosikan pembangunan diri dalam kalangan warga Malaysia. - DagangNews.com