AirAsia cabar denda RM80,000 Mavcom, dakwa di mahkamah kempen ‘kerusi percuma’ tiada masalah

LocalBusiness & Finance
10 Nov 2026 • 5:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AirAsia cabar denda RM80,000 Mavcom, dakwa di mahkamah kempen ‘kerusi percuma’ tiada masalah Image from: AirAsia cabar denda RM80,000 Mavcom, dakwa di mahkamah kempen ‘kerusi percuma’ tiada masalah amree10/11/2026 - 17:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Nov — AirAsia mendakwa kempen promosi kerusi percuma yang dilakukannya sejak 2015 tidak pernah menimbulkan masalah atau aduan pengguna, sebelum Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) membangkitkan isu berhubung iklan kempen berkenaan pada penghujung 2024.

 

Peguam syarikat penerbangan tambang rendah itu, David Dinesh Mathew dilaporkan The Edge berkata, adalah sukar diterima bahawa suruhanjaya kawal selia tersebut langsung tidak mengetahui mengenai kewujudan kempen berkenaan sejak sekian lama sebelum mengambil tindakan terhadap iklan terbabit.

 

Beliau ketika prosiding di Mahkamah Tinggi pada Selasa memberitahu, AirAsia justeru mencabar penalti kewangan sebanyak RM80,000 yang dikenakan Mavcom pada Jun 2025 kerana didakwa sebagai melanggar Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC).

 

"AirAsia turut memohon pengisytiharan mahkamah bahawa iklan promosi kerusi percuma mematuhi MACPC dan tidak bersifat palsu, mengelirukan atau memperdaya pengguna. Syarikat ini juga mempertikaikan kesahihan panduan Mavcom mengenai pengiklanan tambang penerbangan," katanya.

 

Mathew menjelaskan harga tiket itu meliputi harga tempat duduk, cukai, surcaj bahan api serta caj perkhidmatan lain seperti bagasi daftar masuk, pemilihan tempat duduk dan makanan. Walaupun tambang asas ditawarkan percuma, penumpang masih perlu membayar cukai, fi dan surcaj berkaitan.

 

Isu berkenaan timbul selepas AirAsia menawarkan 12 juta tempat duduk percuma bagi penerbangan tertentu yang ditempah antara 2 hingga 10 November 2024. Mavcom kemudian menyuarakan kebimbangan terhadap iklan tersebut dengan merujuk kepada panduan pengiklanan tambang penerbangan.

 

AirAsia_DagangNews2026

 

AirAsia menurutnya turut memaklumkan bahawa iklan berkenaan mempunyai tanda bintang yang merujuk kepada terma dan syarat tambahan di bahagian bawah iklan. Mavcom pada 23 Januari 2025 dilaporkan memaklumkan bahawa tiada penalti kewangan akan dikenakan ketika itu.

 

Bagaimanapun, selepas AirAsia menyiarkan iklan promosi seumpamanya pada Februari 2025, Mavcom pada 3 April 2025 menyifatkannya sebagai mengelirukan sebelum mengenakan denda RM80,000 dan menegaskan tambang merangkumi semua caj wajib perlu dipaparkan jelas pada halaman utama iklan dan bukan disembunyi dalam penafian.

 

Mathew berhujah penalti itu perlu diketepikan kerana pengguna diberikan pecahan caj yang jelas pada setiap peringkat proses tempahan. Beliau turut mendakwa pengguna Malaysia sudah biasa dengan kempen berkenaan dan memahami tawaran kerusi percuma hanya melibatkan tambang asas, bukan cukai serta caj wajib.

 

Sementara itu, peguam Mavcom, Hoi Jack S'ng namun mempertahankan tindakan pengawal selia itu dengan menyatakan penalti berkenaan dibuat berdasarkan pelanggaran MACPC dan mempunyai asas perundangan di bawah Seksyen 69(4) Akta Mavcom 2015 serta perenggan 22 kod berkenaan.

 

Beliau turut mempersoalkan kajian pakar yang dikemukakan AirAsia bagi menyokong dakwaan bahawa pengguna memahami iklan tersebut. Menurutnya, kajian itu tidak menggambarkan keadaan sebenar pengguna melihat iklan promosi yang memaparkan perkataan 'percuma' secara ketara, selain sebahagian responden didapati tidak mentafsir iklan seperti yang dihujahkan syarikat penerbangan itu.

 

Hakim Norliza Othman menetapkan 3 Mei 2027 untuk menyampaikan keputusan selepas memanggil kedua-dua pihak ke kamar dan memaklumkan bahawa mahkamah akan meneliti hujahan bertulis mereka. AirAsia dilaporkan tidak lagi menjalankan kempen 'kerusi percuma' sejak dikenakan penalti oleh Mavcom. - DagangNews.com

Terkini standard
View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved