Filipina mengarahkan laman web AirAsia supaya menghentikan operasi penjualan tiket selepas didakwa menjualnya pada harga melanggar undang-undang tempatan. Arahan diberikan Setiausaha Pengangkutan Lembaga Aeronautik Awam, Vince Dizon semalam.
AirAsia didapati menaikkan harga tiket melebihi harga siling yang ditetapkan oleh Lembaga Aeronautik Awam selepas berlakunya isu pengangkutan di Tacloban City disebabkan oleh penutupan jambatan. Pihak berkuasa Filipina turut akan memfailkan kes “jenayah sabotaj ekonomi jenayah” ke atas laman AirAsia Move yang melakukan jualan tiket.

Hujung minggu lalu, AirAsia menjual tiket sehala dari Manila ke Tacloban City pada harga 77,000 Pesos (~RM 5890) yang adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding tiket laluan sama yang ditawarkan oleh Philippine Airlines.
AirAsia telah mengeluarkan kenyataan rasmi menerangkan Move tidak menetapkan harga secara manual atau melakukan manipulasi harga tiket. Sebagai platform agensi pelancongan atas talian, Move menggunakan penyedia pihak ketiga dan isu berlaku disebabkan penyelarasan data sementara dengan rakan kongsi harga penerbangan. Percanggahan teknikal yang disebabkan oleh penyedia pihak ketiga ini bukan sahaja melibatkan Move kerana ia turut menjejaskan platform tempahan lain di seluruh industri, termasuk Agoda, Kiwi.com dan Traveloka.
Move mengambil langkah segera dan menghubungi penyedia harga pihak ketiga untuk menyelesaikan isu yang timbul. Mereka juga mengambil langkah untuk mempertingkatkan lagi perlindungan bagi mengelakkan kejadian sama berulang di masa hadapan.

