AirAsia dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia buat kali ke-14 berturut-turut

21 Jun 2023 • 8:43 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AirAsia dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia buat kali ke-14 berturut-turut

azan

21/06/2023 - 08:43

PARIS 21 Jun - AirAsia donobatkan selaku Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia buat kali ke-14 berturut-turut di Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2023 (Skytrax), di sini.

Kejayaan itu adalah merupakan penanda aras global bagi kualiti dan kecemerlangan syarikat penerbangan dan bagi anugerah tersebut lebih 100 warganegara pengembara mengambil bahagian dalam tinjauan dalam talian ini, dengan kira-kira 20.23 juta penyertaan yang layak dikira dalam keputusan dari September 2022 hingga Mei 2023, sejajar dengan tempoh AirAsia meningkatkan rangkaiannya kembali ke lebih 130 destinasi.

Pengiktirafan luar biasa itu merupakan bukti kukuh kepada pemulihan AirAsia dan perkembangan dari segi rangkaian dan penumpang, selain komitmen berterusan dalam aspek inovasi bagi menyediakan perkhidmatan terbaik walaupun menghadapi cabaran berikutan pandemik global.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, anugerah itu merupakan yang terbaik untuk dirinya sepanjang tempoh 21 tahun dalam bidang penerbangan terutama selepas berdepan wabak COVID-19 sebelum ini.

Beliau berkata, sebelum ini ada ramai pihak kecewa disebabkan beberapa perkara tetapi pada tahun ini AirAsia dan AirAsia X bangkit semula bagi meraih kepercayaan orang ramai.

image is not available

"Kejayaan ini adalah sangat hebat kerana tidak pernah ada mana-mana jenama termasuk di Malaysia pernah menang sebanyak 14 kali berturut-turut dan ia adalah sesuatu yang sangat hebat untuk negara kecil seperti Malaysia.

"Ini adalah kejayaan paling hebat kerana kami bangkit daripada COVID-19 dan menang anugerah adalah sesuatu yang cukup hebat kerana kami bangkit semuala bersama 204 pesawat selain isu bayaran balik melibatkan berbilion ringgit," katanya ditemui selepas majlis itu.

Dengan 170 pesawat sudah kembali beroperasi di seluruh kumpulan, AirAsia menjangkakan semua 204 akan diaktifkan semula menjelang akhir Ogos ini.

Kumpulan itu akan mencapai 100% kapasiti pra-pandemik dalam beberapa bulan akan datang, syarikat penerbangan itu juga sedang mencari untuk mengembangkan sayapnya lebih jauh dengan penambahan 19 pesawat baharu yang akan berlepas tahun ini, termasuk empat pesawat Frontier.

Syarikat penerbangan itu juga menantikan perniagaan kargo dan logistiknya, Teleport untuk menerima yang pertama daripada tiga kapal pengangkut A321F khusus pada Julai ini bagi meningkatkan jumlah dan kelajuan penghantaran rentas sempadan di rantau ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Skytrax, Edward Plaisted berkata, AirAsia adalah antara jenama kegemaran penumpang dalam tinjauan pihaknya dan mereka terus meningkatkan kecemerlangan setiap tahun sejak kategori Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia diperkenalkan pada 2010.

"Kami berharap pengiktirafan daripada para penumpang ini menjadi sumber kebanggaan untuk pihak pengurusan AirAsia dan kakitangan mereka yang telah melalui tempoh yang sukar untuk kembali memulakan perkhidmatan selepas pandemik," katanya. - DagangNews.com