AirAsia MOVE perluas akses aplikasi tempahan perjalanan dengan Ethiopian Airlines, Vietjet Air dan Garuda Indonesia

LocalTravel
24 Dec 2025 • 12:12 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AirAsia MOVE perluas akses aplikasi tempahan perjalanan dengan Ethiopian Airlines, Vietjet Air dan Garuda Indonesia image is not available haziq24/12/2025 - 12:12 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Dis – AirAsia MOVE terus memperkukuh kedudukan sebagai aplikasi tempahan perjalanan utama di Asia apabila memeterai kerjasama strategik dengan syarikat penerbangan antarabangsa Ethiopian Airlines, Vietjet Air dan Garuda Indonesia.

 

Dalam kenyataan hari ini, melalui kerjasama ini, MOVE memperluaskan lagi akses rangkaian penerbangan serantau dan jarak jauh kepada pengguna, sekali gus membolehkan perancangan perjalanan secara lebih menyeluruh dan lancar menerusi satu aplikasi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MOVE, Nadia Omer berkata, pemeteraian kerjasama tersebut mencerminkan tahap keyakinan rakan syarikat penerbangan terhadap MOVE sebagai rakan pengedaran strategik.

 

“Syarikat menyaksikan perubahan ketara dalam corak permintaan, di mana pengembara kini mahukan lebih banyak pilihan penerbangan. Kami berbesar hati dapat bekerjasama secara langsung dengan lebih banyak syarikat penerbangan bagi memenuhi keperluan ini,” katanya.

 

Menurut beliau, Vietnam muncul sebagai antara pasaran utama MOVE dengan pertumbuhan sebanyak 25% bagi jumlah tempat duduk yang terjual dari tahun ke tahun, mencerminkan kejayaan strategi penembusan pasaran serta peningkatan permintaan terhadap kepelbagaian pilihan syarikat penerbangan.

 

“Bersama rakan kerjasama, syarikat sedang membina ekosistem yang lebih kukuh untuk memperkasakan pengembara dengan lebih banyak pilihan, di samping menyokong pertumbuhan rakan syarikat penerbangan merentas pasaran utama,” katanya.

 

Penyertaan Ethiopian Airlines, Vietjet Air dan Garuda Indonesia menjadikan jumlah syarikat penerbangan yang bekerjasama secara langsung dengan MOVE meningkat kepada 70 syarikat penerbangan global. 

 

Selain itu, MOVE turut menawarkan lebih 700 pilihan syarikat penerbangan lain melalui pembekal sah.

 

Kerjasama strategik ini dimeterai selepas MOVE dinobatkan sebagai Aplikasi Tempahan Perjalanan Terbaik Asia buat kali ketiga berturut-turut pada Anugerah Teknologi Pelancongan Dunia 2025, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai ejen pelancongan dalam talian (OTA) tempatan terkemuka di rantau ini.

 

Selain perkhidmatan penerbangan, MOVE turut menyediakan akses kepada lebih 1 juta hotel, perkhidmatan pengangkutan lapangan terbang, jualan barangan bebas cukai dalam talian, insurans perjalanan serta pelbagai perkhidmatan pelancongan lain, selari dengan strateginya membangunkan ekosistem perjalanan digital bersepadu. - DagangNews.com

Terkini standard