airasia ride tawar promosi tambang Rahmah RM1 di lima lokasi terpilih Lembah Klang

18 Jul 2023 • 2:21 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

airasia ride tawar promosi tambang Rahmah RM1 di lima lokasi terpilih Lembah Klang

zulfadli

18/07/2023 - 14:21

KUALA LUMPUR 18 Julai - airasia Superapp memperkenalkan tiga inisiatif sebagai sebahagian daripada sokongannya terhadap inisiatif Payung Rahmah oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, untuk memudahkan perjalanan dan ketersambungan mampu milik untuk rakyat Malaysia.

Menerajui inisiatif untuk memudahkan ketersambungan mampu milik di darat adalah promosi RM1 airasia ride di lima kawasan popular terpilih, iaitu Putrajaya dan Cyberjaya, Bukit Bintang, Bandar Sunway, Bangsar South dan Mont Kiara.

Promosi ini tersedia pada setiap Isnin hingga Jumaat dari 12 tengah hari untuk 3,000 tempahan pertama setiap hari (tertakluk kepada caj minimum tempahan perjalanan bernilai RM5).

Setiap tempahan RM1 airasia ride akan diberi peluang untuk menebus Pakej Rahmah ‘Ride, Fly & Stay’ yang mana pengguna airasia ride itu akan menerima kod promosi RAHMAH50 untuk potongan harga RM50 untuk tempahan hotel dan potongan RM50 untuk tempahan penerbangan ke mana-mana destinasi antarabangsa melalui platform OTA (ejen pelancongan dalam talian).

Selain itu, kod promosi RAHMAH50 ini juga boleh digunakan secara asing untuk mendapatkan potongan RM50 ke atas tempahan tunggal airasia hotel (tertakluk kepada setiap 100 tempahan pertama setiap hari) atau tempahan tunggal penerbangan OTA di airasia Superapp (tertakluk kepada setiap 100 tempahan setiap hari).

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya berbangga untuk turut serta memberikan sokongan terhadap inisiatif kerajaan seperti Payung Rahmah ini, dan ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup kerana melancarkan inisiatif tersebut.

"airasia Superapp sentiasa memberikan nilai terbaik kepada pelanggannya, dan seterusnya memperluaskan impian perjalanan mampu milik kepada semua orang melalui aplikasi super perjalanan sehenti ini.

image is not available

"Daripada penerbangan kepada hotel hingga perkhidmatan e-panggilan dan banyak lagi, semuanya boleh didapati dalam satu platform. Dan hari ini, kami dengan sukacitanya mengumumkan inisiatif Payung Rahmah bersama-sama kementerian, yang menawarkan promosi tambang daripada hanya RM1 oleh airasia ride.

"Ini akan memanfaatkan hampir 200,000 orang, terutamanya para pelajar di sekolah dan juga universiti sekitar lokasi pilihan. Kami berharap ia akan membolehkan lebih ramai pelajar dapat menikmati pengalaman pengangkutan yang lancar tanpa menjejaskan bajet mereka," katanya dalam kenyataan media di sini.

image is not available

Terdahulu, Inisiatif Payung Rahmah dengan airasia Superapp dilancarkan hari ini oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub di ibu pejabat airasia Superapp di KL Sentral.

Turut hadir, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif airasia Superapp, Mohamad Hafidz Mohd Fadzil dan Ketua Pegawai Eksekutif Serantau airasia ride, Lim Chiew Shan.

image is not available

Salahuddin pula berkata, pihaknya memuji usaha airasia Superapp kerana mengambil bahagian dalam inisiatif Payung Rahmah.

Beliau berkata, kementerian melancarkan program ini pada awal tahun ini selaras dengan matlamat kerajaan untuk membantu kos sara hidup rakyat Malaysia.

image is not available

"Sejak itu, kami telah berjaya melancarkan beribu-ribu perniagaan di seluruh industri utama di negara ini yang menyokong mesej yang sama, dan kami teruja melihat airasia Superapp sebagai sebuah jenama terkemuka menawarkan perjalanan dan ketersambungan mampu milik, terutamanya melalui tawaran airasia ride RM1," katanya. - DagangNews.com