AirAsia tambah 5.2 juta kapasiti tempat duduk bagi penerbangan antara China, India dan Malaysia pada suku pertama 2024

27 Nov 2023 • 2:27 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AirAsia tambah 5.2 juta kapasiti tempat duduk bagi penerbangan antara China, India dan Malaysia pada suku pertama 2024

diyana

27/11/2023 - 14:27

KUALA LUMPUR 27 Nov - AirAsia komited menambah 5.2 juta kapasiti tempat duduk untuk penerbangan antara China-Malaysia dan India-Malaysia menerusi sejumlah 230 penerbangan mingguan bermula suku pertama 2024.

Peningkatan ketara kapasiti menerusi penerbangan AirAsia Malaysia (AK) dan AirAsia X Malaysia (D7) ini merupakan sokongan kepada jangkaan lonjakan permintaan perjalanan berikutan pengumuman kerajaan Malaysia berhubung kemasukan tanpa visa selama 30 hari bagi pelancong dari China dan India ke Malaysia mulai 1 Disember 2023.

Pengumuman itu juga selaras dengan pengumuman pelonggaran sekatan perjalanan untuk rakyat Malaysia ke China baru-baru ini, yang akan bermulai pada 1 Disember 2023.

Baru-baru ini, Kedutaan China di Malaysia turut mengumumkan bahawa warganegara Malaysia yang memegang pasport biasa boleh memasuki China untuk tujuan perniagaan, pelancongan, lawatan keluarga dan transit tanpa visa sehingga 15 hari bermula 1 Disember 2023 hingga 30 November 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata berita tersebut dinanti-nantikan bukan sahaja untuk AirAsia, tetapi untuk rakyat di seluruh negara.

“Kemasukan 30 hari tanpa visa untuk warga China dan India pasti bakal memberi rangsangan yang dialu-alukan untuk sektor pelancongan dan ekonomi di Malaysia menjelang musim kemuncak perjalanan akan datang, sambil meningkatkan hubungan ekonomi antara negara-negara besar ini.

“Sebagai antara penggiat utama dalam sektor penerbangan, kami bersedia untuk menambah kapasiti bagi menyokong permintaan perjalanan udara yang berpatutan untuk semua di rantau ini,” ujar beliau dalam satu kenyaan media hari ini.

image is not available
Tan Sri Tony Fernandes

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited, Bo Lingam menambah bahawa selain membuka peluang untuk meningkatkan kesalinghubungan serantau dalam dua pasaran terbesar tersebut, pengumuman kerajaan itu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang ketara.

“Dengan anggaran 4.6 juta tetamu melakukan perjalanan melalui rangkaian luas kami yang terdiri daripada 26 laluan di China dan India pada 2024 sahaja, kami bersedia untuk memainkan peranan penting dalam mencapai sasaran kemasukan pelancong di Malaysia, iaitu sebanyak 25 juta pelancong antarabangsa setiap tahun,” katanya.

Sebagai syarikat penerbangan tambang rendah asing terbesar di China, kedua-dua AirAsia Malaysia dan AirAsia X Malaysia terbang ke 17 laluan ke negara ini dengan jumlah 156 penerbangan mingguan.

Kedua-dua syarikat penerbangan tersebut juga telah meningkatkan kekerapan kepada sembilan laluan ke India dengan sejumlah 74 penerbangan seminggu. - DagangNews.com