liza06/04/2026 - 14:30 KUALA LUMPUR 6 April — AirAsia X Bhd menaikkan tambang penerbangan antara 30% hingga 40% berikutan lonjakan mendadak harga minyak jet ketika ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Bo Lingam berkata harga minyak jet telah meningkat daripada sekitar AS$90 setong sebelum konflik di Timur Tengah kepada kira-kira AS$200 setong pada masa ini.
Menurut beliau, caj tambahan bahan api sahaja telah meningkat sebanyak 20% menyebabkan tambang keseluruhan meningkat antara 30% hingga 40%.
“Tambang akan disemak dari semasa ke semasa bergantung kepada harga bahan api semasa,” katanya, lapor The Edge.
Mengulas mengenai ketiadaan lindung nilai bahan api (fuel hedge), beliau menjelaskan keadaan tersebut berlaku disebabkan faktor masa yang tidak menyebelahi syarikat, walaupun beberapa urusan lindung nilai sedang diusahakan sebelum harga minyak melonjak dengan mendadak.
Selain mengenakan caj tambahan bahan api, AirAsia turut mengurangkan kapasiti bagi laluan tertentu serta menamatkan laluan yang tidak menguntungkan, di samping melaksanakan langkah pengoptimuman kos termasuk pengurusan armada pesawat dan pengurangan kos sampingan.
Walau bagaimanapun, Bo Lingam berkata permintaan bagi penerbangan masih kekal kukuh walaupun tambang meningkat, menunjukkan pengguna masih mampu menampung kenaikan harga tiket.
Harga minyak jet dilaporkan melonjak kira-kira 140% kepada lebih AS$200 setong bulan lalu susulan konflik melibatkan Iran yang menjejaskan kemudahan minyak dan gas serta menjejaskan laluan perkapalan utama dunia di Selat Hormuz.
Sementara itu, pengasas bersama dan penasihat AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata kumpulan penerbangan itu yakin mampu mengharungi krisis semasa sebagaimana yang pernah dilalui sebelum ini, termasuk ketika kenaikan harga minyak dan pandemik COVID-19.
Krisis harga bahan api terkini ini berlaku beberapa bulan selepas Capital A Bhd, yang memiliki 19% kepentingan dalam AirAsia X, melaksanakan pelan penstrukturan semula untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17).
Namun syarikat itu masih belum keluar sepenuhnya daripada senarai kategori tersebut.
Di bawah pelan itu, Capital A melupuskan perniagaan penerbangan jarak dekat AirAsia kepada AirAsia X, sekali gus menyatukan keseluruhan perniagaan penerbangan di bawah AirAsia X.
Syarikat itu sebelum ini merancang untuk mengembangkan saiz armadanya.
Bo Lingam berkata setakat ini tiada perubahan terhadap rancangan pengembangan armada, dengan empat pesawat baharu yang dijangka diterima tahun ini kekal seperti yang dirancang.
Setakat dagangan tengah hari Isnin, saham AirAsia X naik satu sen atau 0.86% kepada RM1.17 sesaham, sekali gus meletakkan nilai pasaran syarikat itu sekitar RM3.93 bilion. - DagangNews.com
