AirAsia X terajui misi bantuan komuniti bersama Pertubuhan Pertolongan Wanita
zulfadli
11/12/2023 - 09:28
KUALA LUMPUR 11 Dec - Kakitangan AirAsia X (AAX) yang dikenali sebagai Allstars bergabung tenaga untuk membuat perubahan positif melalui inisiatif bantuan komuniti di salah sebuah pusat perlindungan yang dikendalikan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) di Lembah Klang.
Syarikat penerbangan tambang murah itu berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan sempena Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita.
Katanya, dalam pada AAX terbang lebih tinggi sebagai syarikat penerbangan jarak sederhana dan jauh, pihaknya tetap teguh dengan komitmen untuk menyantuni komuniti yang kurang bernasib baik.
"Lebih daripada 30 Allstars telah mengambil bahagian dalam inisiatif ini yang bermula dengan pengenalan daripada pasukan WAO mengenai peranan penting mereka dalam memerangi keganasan terhadap wanita.
"Mereka juga menekankan cabaran yang perlu dihadapi termasuk keperluan untuk memindahkan tempat perlindungan bagi memastikan keselamatan mangsa," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut kenyataan itu, setelah dibahagikan kepada dua kumpulan, para Allstars bekerjasama membersih, menyusun, dan mengemas tempat perlindungan tersebut untuk menghasilkan persekitaran tempat tinggal lebih bersih dan selamat untuk golongan tersebut.
Katanya, Allstars juga telah memasang beberapa buah perabot untuk kegunaan harian dan kedua-dua tingkat tempat perlindungan tersebut telah dibersihkan dengan teliti pada waktu tengah hari.

"Program pada hari tersebut diakhiri dengan pembentangan daripada wakil WAO yang menekankan komitmen organisasi mereka untuk mengakhiri keganasan terhadap wanita dan advokasi terhadap kesaksamaan gender di Malaysia.
"Tempat perlindungan ini amat penting bagi mangsa keganasan domestik yang merangkumi wanita, pelarian dan kanak-kanak," katanya.

Katanya, bagi para Allstars ia merupakan satu pengalaman berharga yang mendedahkan mereka kepada latihan khusus yang diperlukan untuk melindungi wanita daripada keganasan, sama ada melalui sumbangan pengetahuan profesional atau menyediakan sokongan melalui talian.
Tambah kenyataan itu, memahami cabaran yang dihadapi oleh golongan ini menekankan peranan penting organisasi tersebut dalam memperkasakan wanita.

"Kami menghargai sumbangan Allstars yang meluangkan masa dan menyertai inisiatif penuh makna ini. Kami juga berbangga kerana dapat menyumbang impak positif terhadap komuniti yang memerlukan.

"Pengalaman ini memperkukuh komitmen kami untuk memberikan perbezaan dalam kehidupan golongan yangmemerlukan, selari dengan misi utama AirAsia, di mana kami fokus kepada kesamarataan gender untuk memastikan peluang yang saksama untuk semua," katanya. - DagangNews.com
