AirBNB Dan MDEC Bekerjasama Untuk Menjadikan Malaysia Hab Perantau Digital Di Asia

TechnologyDigital
29 Aug 2023 • 2:39 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pada awal tahun ini, kerajaan Malaysia melalui Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) telah memperkenalkan program DE Nomad yang mana para perantau digital boleh menjadikan Malaysia sebagai destinasi bekerja di luar pejabat untuk sejumlah masa, dengan penawaran visa pekerjaan dan juga tempat tinggal sementara.

Hari ini, MDEC telah menandatangani memorandum persetujuan bersama-sama dengan syarikat platform penginapan jangka-masa pendek AirBNB untuk bekerjasama dalam pemerkasaan inisiatif DE Rantau dengan penawaran lokasi tempat tinggal jangka-masa panjang.

image is not available

Kerjasama ini dibuat dengan data daripada AirBNB yang mengatakan bahawa permintaan untuk penginapan jangka-masa panjang (28 hari dan keatas) telah meningkat dari 7.7 peratus pada 2019 ke 11.6 peratus pada 2023 di rantau APAC. Di Malaysia, permintaan tersebut dilihat meningkat dari 11.6 peratus ke 18.6 peratus pada tahun 2022.

Malah, pasca wabak COVID-19, Malaysia merupakan salah satu daripada lokasi-lokasi dengan tempahan AirBNB yang tertinggi di dunia, dengan tiga destinasi popular pada tahun 2022 dilihat di Kuala Lumpur, Selangor dan juga Johor Bahru.

Pada bulan Mei tahun ini, AirBNB turut memperkenalkan satu fungsi baru melalui aplikasi mereka yang membolehkan pelancong untuk menempah penginapan selama 12 bulan berturut-turut. Perkhidmatan ini telah dilanjutkan untuk meliputi program DE Rantau Hub juga, dengan penawaran seperti sambungan internet nirwayar pantas (minima 100Mbps), ruang kerja khusus, dapur, dobi dan juga pengangkutan awam yang berdekatan.

Steven Liew, Pengarah Dasar Awam Asia Pasifik AirBNB berkata bahawa pihak AirBNB bekerjasama dengan pemilik penginapan jangka-masa pendek untuk membolehkan mereka menukar lokasi-lokasi mereka menjadi hab DE Rantau jangka-masa panjang.

image is not available

CEO MDEC, Ts. Mahadhir Aziz mengatakan bahawa setakat ini, terdapat 1400 hab DE Rantau di Malaysia yang berpusat di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Langkawi dan juga Pulau Pinang, dimana 600 daripadanya ialah milik AirBNB. MDEC menjangkakan bahawa jumlah hab ini akan meningkat ke 2000 pada penghujung tahun ini.

Untuk menarik kunjungan lebih ramai lagi perantau digital ini, AirBNB juga telah membuka laman web AirBNB Live and Work in Malaysia yang membolehkan mereka untuk bukan sahaja menempah tempat tinggal, tetapi juga untuk mereka memohon untuk pas visa DE Rantau Pass dengan lebih mudah.