Airbnb sumbang RM9.2 bilion kepada ekonomi Malaysia, lonjak pelancongan luar bandar - Oxford Economics

07/08/2025 - 12:49
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 7 Ogos – Airbnb mencatatkan sumbangan kukuh kepada ekonomi Malaysia dengan menjana impak ekonomi sebanyak RM9.2 bilion pada 2024, mewakili 5% daripada keseluruhan sumbangan industri pelancongan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Menurut laporan oleh firma penyelidikan antarabangsa Oxford Economics yang diterbitkan hari ini, Airbnb turut menyokong kira-kira 93,600 pekerjaan serta menyumbang RM2.1 bilion dalam bentuk gaji kepada rakyat Malaysia, sekali gus memperkukuh pemulihan pelancongan pasca pandemik.
Airbnb turut merekodkan jumlah perbelanjaan tetamu sebanyak RM11 bilion merangkumi penginapan serta perbelanjaan di restoran, pengangkutan, barangan runcit dan hiburan.
Pengarah Perundingan Ekonomi Asia di Oxford Economics, James Lambert berkata, purata perbelanjaan harian tetamu direkodkan RM640, dengan RM290 dibelanjakan untuk restoran dan beli-belah, RM160 untuk seni dan hiburan, RM110 untuk barangan runcit dan RM140 bagi pengangkutan.
“Sebanyak 67% tetamu Airbnb merupakan pelancong tempatan, mengatasi paras sebelum pandemik (2019), manakala tetamu antarabangsa yang kini mewakili 33% menunjukkan peningkatan lebih dua kali ganda berbanding 2022.
“Sebahagian besar tetamu antarabangsa ini datang dari rantau Asia Pasifik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, kawasan luar bandar Malaysia semakin menikmati limpahan manfaat ekonomi, apabila lebih separuh daripada perbelanjaan tetamu Airbnb berlaku di luar Kuala Lumpur dan Selangor.
Perbelanjaan penginapan di kawasan bukan bandar meningkat 68% berbanding 2019, dengan 62% daripada sumbangan GDP Airbnb disumbang oleh kawasan luar bandar.
Beliau berkata, secara tidak langsung, aktiviti Airbnb turut menyumbang kepada pelbagai sektor ekonomi lain, termasuk pembuatan sebanyak RM1.4 bilion, pengangkutan dan penyimpanan (RM1.2 bilion), makanan dan minuman (RM1.2 bilion) serta perdagangan borong dan runcit (RM1 bilion).
“Ini menyokong penciptaan pekerjaan dalam bidang makanan & minuman (37,200 pekerjaan), perdagangan runcit (13,400), pengangkutan (10,300) dan seni & hiburan (9,700).
“Airbnb telah membolehkan limpahan pelancongan ke kawasan yang sebelum ini tidak menjadi tumpuan utama, sekali gus merangsang pembangunan ekonomi setempat dan memperkukuh rangkaian bekalan tempatan,” katanya.- DagangNews.com
standard


