amree13/11/2026 - 16:35 PESAWAT AirBorneo berlepas ke Jakarta, Indonesia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak. - Foto kredit Unit Komunikasi Awam Sarawak Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Nov — AirBorneo memperluas jaringan penerbangan antarabangsanya ke Indonesia menerusi pelancaran laluan terus Kuching-Jakarta, langkah yang dijangka membuka lebih banyak peluang perdagangan, pelaburan dan pelancongan antara Sarawak dengan negara jiran itu.
Penerbangan sulung yang beroperasi pada Jumaat turut menandakan laluan pertama syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak itu ke Indonesia, selain menjadi laluan ketiganya sejak memulakan operasi komersial pada Julai 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Aminuddin berkata, Jakarta merupakan pintu masuk pertama syarikat itu ke Indonesia dan laluan berkenaan dilihat sebagai penghubung antara dua wilayah berjiran, bukan sekadar destinasi penerbangan baharu.
"Perkhidmatan itu turut menyasarkan pertumbuhan dua hala dengan memudahkan urusan perdagangan, pelaburan serta kerjasama perniagaan antara Sarawak dan Jakarta menerusi hubungan udara secara langsung," kata beliau.

Majlis pelancaran laluan berkenaan disempurnakan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada Jumaat.
Selain perjalanan perniagaan, laluan ini dijangka merancakkan sektor pelancongan apabila pelawat dari Indonesia berpeluang meneroka tapak Warisan Dunia UNESCO, dan hutan hujan di Sarawak, manakala rakyat negeri itu boleh menikmati tawaran makanan, fesyen serta gaya hidup di Jakarta.
Penerbangan Kuching-Jakarta ditawarkan tiga kali seminggu, iaitu setiap Isnin, Jumaat dan Ahad, dengan tambang bermula daripada RM399 bagi kelas Ekonomi dan RM888 bagi kelas Perniagaan.
Tiket boleh dibeli menerusi laman web rasmi AirBorneo, aplikasi mudah alih syarikat penerbangan tersebut, pejabat jualan tiket serta ejen pelancongan yang diberi tauliah.

AirBorneo diwujudkan susulan pengambilalihan MASwings Sdn Bhd oleh AirBorneo Holdings Sdn Bhd, entiti milik penuh Kerajaan Sarawak. Perjanjian jual beli dimeterai pada 12 Februari 2025, manakala pengambilalihan selesai pada 31 Disember 2025 sebelum operasi beralih secara rasmi kepada AirBorneo mulai 1 Januari 2026.
MASwings yang menjadi asas kepada penubuhan AirBorneo merupakan syarikat penerbangan serantau yang ditubuhkan pada 2007. Selepas pengambilalihan itu, AirBorneo mengambil alih operasi Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) yang menghubungkan 21 destinasi di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Selain Jakarta, rangkaian penerbangan jet AirBorneo dari Kuching turut merangkumi Kuala Lumpur dan Singapura, manakala operasi RAS terus menghubungkan destinasi pedalaman di Borneo.
Pengembangan ini mencerminkan usaha syarikat memperkukuh peranan Kuching sebagai hab penerbangan serantau dan meningkatkan kesalinghubungan Sarawak dengan pasaran luar. - DagangNews.com





