
PETALING JAYA – Melihat sendiri penderitaan neneknya yang menghidap penyakit linkontinens urinari iaitu keadaan seseorang sukar mengawal pengeluaran air kencing, sehingga warga emas itu pernah terjatuh di tandas pada waktu malam, telah mendesak seorang usahawan tekad meninggalkan kerjayanya dalam dunia korporat.
Pengasas produk berjenama AIRE, Nivedita Venkateish tidak menoleh kebelakang lagi dengan pelan perancangannya untuk menghasilkan lampin pakai buang dewasa yang lebih selesa sesuai dengan perubahan umur dan tingkah laku pengguna yang rata-ratanya adalah warga emas.
Usahanya itu berjaya sehingga, produk yang dihasilkan melalui kajian dan pembangunan yang teliti membolehkan, perluasan pasarannya terus berkembang di Singapura malah terus menembusi pasaran Malaysia.
Produk tersebut kini berada di lebih 20 cawangan AEON di Malaysia.
Nivedita berkata, syarikatnya menghasilkan produk yang lebih selesa di pakai, tidak terlalu tebal, mementingkan bentuk tubuh masyarakat Asia dan memenuhi keperluan kulit sensitif serta yang lebih penting, ia tidak mahal.
Tambah beliau, lampin dewasa AIRE itu bersesuaian untuk kumpulan sasarannya yang mahu mengambil kira faktor kesihatan dan juga menjaga maruah mereka yang tidak selesa dianggap seperti kanak-kanak sehingga terpaksa memakai lampin.
Nivedita sendiri menyaksikan perkara ini melalui pengalaman neneknya, yang enggan memakai lampin dewasa kerana berasa malu, sebaliknya, neneknya kerap bangun pada waktu malam untuk ke tandas.
“Dari situ saya baru sedar bahawa keperluan kumpulan warga emas ini kurang dberi perhatian oleh jenama pengguna dan tidak banyak produk yang mengambil kira keselesaan, maruah dan juga bagaimana mereka mahu menjalani kehidupan seharian.
“Rasa malu boleh menyebabkan kumpulan warga emas ini memilih untuk berdiam diri kerana bimbang keadaan itu menjejaskan maruah dan keupayaan untuk berdikari.
“Perkara ini bukan hanya berkisah tentang penggunaan lampin dewasa tetapi juga tentang membolehkan warga emas tidur lena, meluangkan masa bersama orang tersayang, berjalan dan keluar tanpa rasa bimbang,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, Nivedita menjelaskan, melalui AIRE, warga emas tidak perlu bergantung sepenuhnya pada ahli keluarga yang lebih muda untuk membuat keputusan bagi pihak mereka tetapi ramai daripada para pelanggannya selesa menggunakan platform jual beli dalam talian untuk membandingkan harga dan membeli produk inkontinens sendiri.
“Perkara yang paling mengejutkan saya ialah tanggapan umum terhadap warga emas yang kurang tepat. Ramai beranggapan bahawa mereka kurang mahir menggunakan teknologi. Hakikatnya, ramai pelanggan kami selesa menggunakan platform jual beli dalam talian dan tahu mencari tawaran yang berbaloi,” katanya.
Maklum balas pelanggan juga mengukuhkan kepentingan dalam membangunkan sesuatu produk penjagaan yang sesuai. Bagi sesetengah individu, keselesaan menjadi keutamaan. Bagi yang lain, harga yang berpatutan dan keupayaan untuk meneruskan rutin harian tanpa gangguan lebih penting.
Menurut Nivedita, pengembangan ini sebahagiannya didorong oleh pelanggan di Singapura yang ingin mengetahui tempat ahli keluarga mereka di Malaysia boleh mendapatkan produk berkenaan.
Namun, baginya, matlamat yang lebih besar adalah mengubah cara masyarakat melihat inkontinens dan mereka yang mengalaminya.
“Inkontinens ialah keadaan yang lazim berlaku dan boleh diuruskan. Ia tidak sepatutnya bermakna seseorang perlu mengorbankan kebebasan untuk berdikari,” katanya.
Tambah beliau, menjaga insan tersayang bukan sekadar memenuhi keperluan fizikal, tetapi juga memastikan mereka terus didengari, dihormati dan diberi ruang untuk membuat pilihan sendiri.
Usia yang semakin lanjut mungkin membawa cabaran baharu, namun maruah dan hak untuk menjalani kehidupan dengan bermakna harus sentiasa dipelihara.
“Untuk kebanyakan warga emas, keupayaan mengawal pundi kencing berkait rapat dengan rasa berdikari dan maruah diri. Apabila mereka mula kehilangan keupayaan itu, mereka mungkin merasakan seolah-olah diri semakin tidak berdaya lalu memilih untuk menyembunyikan keadaan tersebut” jelas Nivedita.
Walaupun risiko inkontinens boleh meningkat seiring usia, keadaan ini bukan sesuatu yang semestinya berlaku apabila seseorang semakin berusia.
Mereka yang mengalami kebocoran air kencing secara berterusan atau perubahan yang mengganggu kehidupan harian digalakkan mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan bagi memahami punca dan pilihan pengurusan yang sesuai. -KOSMO! ONLINE
The post AIRE didik warga emas berdikari, maruah diri terjaga appeared first on Kosmo Online.


