AirTrunk Melaburkan RM12 Bilion Untuk Dua Pusat Data Baru Di Iskandar Puteri, Johor

LocalTechnology
30 Apr 2026 • 1:03 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Johor merupakan salah satu negeri yang cukup popular untuk pembangunan pusat data kerana lokasi strategiknya yang berdekatan dengan hab ekonomi dan teknologi serantau Singapura. AirTrunk, sebuah syarikat pengendali platform pusat data hiperskala yang beroperasi di Timur Tengah dan Asia Pasifik baru-baru ini telah mengumumkan pembangunan dua pusat data baru di negeri tersebut.

Dinamakan JHB3 dan JHB4, ia merupakan dua pusat data tambahan AirTrunk ini dijangka akan menelan belanja sebanyak RM12 bilion dengan tanggungan bebanan IT setinggi 280MW untuk menguasakan kedua-dua infrastruktur IT tersebut.

Untuk memudahkan operasi, kedua-dua pusat data JHB 3 dan JHB4 ini akan dibina di kawasan Iskandar Puteri, berdekatan dengan dua pusat data AirTrunk sedia ada, iaitu JHB1 dan JHB2. Apabila digabungkan, keempat-empat pusat data ini akan hadir dengan bebanan IT setinggi 700MW.

Dengan penambahan dua pusat data baru ini juga, AirTrunk akan membawa masuk pelaburan sebanyak RM27 bilion secara keseluruhan yang mana RM5 bilion akan disalurkan untuk sektor-sektor lain seperti pembangunan dan sebagainya yang akan membantu untuk membina pusat data baru ini apabila keempat-empat pusat data tersebut beroperasi sepenuhnya.

Image from: AirTrunk Melaburkan RM12 Bilion Untuk Dua Pusat Data Baru Di Iskandar Puteri, Johor

Pusat-pusat data ini akan dibina khas untuk menyokong beban kerja awanan dan pemprosesan AI, menampilkan reka bentuk yang fleksibel, boleh diskala dan berdaya tahan. Pusat-pusat data ini juga dikatakan akan beroperasi pada tahap penggunaan kuasa yang jauh lebih rendah berbanding pusat data konvensional.

Kampus-kampus ini juga akan merangkumi sistem penyejukan canggih yang menggunakan 100 peratus air kitar semula, mengurangkan sebarang impak terhadap sumber tenaga dan air tempatan.

AirTrunk mengatakan bahawa kapasiti pemprosesan IT 420MW di pusat data JHB1 dan JHB2 sudah hampir 100 peratus dipasarkan kepada pelanggan, dan oleh kerana itu, mereka menambah kapasiti dengan membina dua lagi pusat data baharu. Pembangunan pusat-pusat data AirTrunk dijangka akan menjana 3000 pekerjaan baru dalam sektor pembangunan t,enaga pekerja pusat data tempatan dan pembekal dan kontraktor tempatan.

Mereka juga akan bekerjasama dengan pihak pengajian tempatan untuk membangunkan kapasiti tenaga kerja tersebut yang dijangka akan memberi banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kelak. Ini termasuklah:

  • Kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menyediakan biasiswa STEM dan penglibatan industri untuk menyokong laluan kerjaya teknologi dan kejuruteraan. AirTrunk juga menyokong Hari Literasi Digital Johor 2025 dengan kerjasama ICDL
  • Kerjasama dengan Gravity Water dan Water Watch Pulau Pinang. AirTrunk akan menyediakan penyelesaian penuaian dan pembersihan air hujan yang mampan untuk memajukan inisiatif pendidikan dan pengurusan air yang menyokong daya tahan iklim jangka panjang
  • Melalui kerjasama dengan MERCY Malaysia, AirTrunk akan menyokong inisiatif daya tahan banjir di Johor, di samping usaha tindak balas bencana kebangsaan untuk memperkukuh kesiapsiagaan dan daya tahan komuniti di seluruh Malaysia