Ais Pun Boleh Jadi Punca Nahas! Juruterbang Jelas Bagaimana Pembentukan Ais Boleh Pengaruhi Penerbangan

3 Nov 2026 • 11:12 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Ais Pun Boleh Jadi Punca Nahas! Juruterbang Jelas Bagaimana Pembentukan Ais Boleh Pengaruhi Penerbangan

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Semalam (2 November), tular di media sosial rakaman video memaparkan detik nahas melibatkan sebuah jet peribadi jenis Learjet 60 di Florida yang jatuh menjunam sebelum terhempas ke tanah sehingga mengorbankan sembilan (9) nyawa.

Malah, rakaman komunikasi audio di antara juruterbang serta pusat kawalan trafik turut tular di media sosial.

Apa yang menjadi perhatian adalah juruterbang memaklumkan bahawa pesawat itu mengalami pergolakan udara sederhana dan pembentukan ais ketika penerbangan dengan suhu udara di luar berada pada paras negatif -47 darjah Celcius (°C).

Video tular itu nyata mendapat perhatian sehingga ramai yang simpati dengan nasib kesemua mangsa dan pada masa sama ada juga yang tertanya-tanya punca sebenar kejadian.

View on Threads

Pembentukan Ais Boleh Jadi Punca Tragedi Sesetengah Penerbangan

Semalam (2 November), juruterbang kargo syarikat swasta yang juga pernah berkhidmat sebagai pilot Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kapten Mohd Ezairol Rezan Zainol tampil menjelaskan bagaimana pembentukan ais (in-flight icing) boleh menjadi punca nahas sesetengah penerbangan komersial dan persendirian.

Jelas beliau dalam satu hantaran di Facebook, kriteria utama nahas sebegini adalah kehilangan kawalan secara tiba-tiba dengan kadar junaman yang sangat pantas seperti yang dilaporkan berlaku kepada jet peribadi Learjet 60.

“-47°C, we’re managing the ice but it is moderate turbulence.

“Ini adalah kata kunci yang paling besar, ia mungkin menjadi punca kepada kejadian malang itu berlaku dan para penyiasat NTSB pastinya akan fokus pada isu tersebut,” tulisnya.

Pembentukan Ais Jadi Masalah Yang Paling Ditakuti Dalam Dunia Penerbangan

Kongsi Mohd Ezairol yang juga merupakan bekas jurulatih penerbangan PDRM, masalah pembentukan ais merupakan fenomena yang paling digeruni dalam dunia penerbangan.

Ini kerana ia boleh mengubah aerodinamik pesawat secara drastik dalam masa yang singkat.

“Masalah pembentukan ais (icing problem) pada pesawat berlaku apabila titisan air super-sejuk dalam awan membeku serta-merta sebaik sahaja merempuh permukaan struktur pesawat.

“Dalam dunia penerbangan, fenomena ini merupakan salah satu ancaman cuaca yang paling digeruni kerana ia mengubah aerodinamik pesawat secara drastik dalam masa yang singkat,” jelasnya.

Juruterbang Turut Kongsi Bagaimana Ais Boleh Sebabkan Pesawat Alami Kegagalan & Menjunam Secara Mendadak

Menerusi hantaran sama, Mohd Ezairol turut berkongsi dari sudut saintifik bagaimana ais mungkin boleh menyebabkan pesawat mengalami kegagalan dan menjunam secara mendadak.

Berikut merupakan penjelasan bagaimana ais boleh mempengaruhi sesebuah pesawat:

#1 Gangguan Kuasa Angkat (Loss of Lift)

Jelasnya, pembentukan ais boleh menyebabkan berlakunya gangguan kuasa angkat (Loss of Lift) iaitu kerosakan pada profil sayap.

“Struktur sayap pesawat direka dengan reka bentuk melengkung yang sangat spesifik untuk menghasilkan daya angkat.

“Apabila ais terkumpul pada pinggir depan sayap (leading edge), bentuk aerodinamik ini rosak secara total,” kongsinya.

Keadaan ini menyebabkan aliran udara di atas sayap menjadi bergelora (turbulence) dan menyebabkan pesawat mengalami kehilangan daya angkat secara mendadak meskipun enjin masih berfungsi pada kuasa penuh.

#2 Peningkatan Berat & Seretan (Weight & Drag)

Tambah Mohd Ezairol, pembentukan ais pada pesawat juga boleh menambah beban tambahan dan berat fizikal pada jentera itu.

Malah, ia juga menyebabkan berlakunya rintangan udara secara mendadak di mana permukaan ais yang kasar dan tidak rata boleh menjadi ‘brek mengejut’.

Keadaan ini boleh meningkatkan daya seretan (drag) sekaligus memperlahankan kelajuan pesawat secara kritikal.

#3 Fenomena Aerodynamic Stall

Jelasnya lagi, pembentukan ais juga boleh menyebabkan tercetusnya fenomena aerodinamic stall.

“Apabila daya angkat berkurangan dan daya seretan meningkat, pesawat akan dipaksa terbang pada sudut yang lebih tinggi untuk mengekalkan ketinggian.

“Jika sudut ini menjadi terlalu curam akibat gangguan aliran udara oleh ais, pesawat akan mengalami pegun aerodinamik (stall), di mana sayap terus gagal berfungsi dan pesawat akan jatuh bebas (menjunam) ke bumi,” katanya.

#4 Kegagalan Tiub Pitot (Pitot Tube Icing)

Gangguan pada tiub pitot iaitu sensor kecil di luar pesawat yang mengukur kelajuan udara juga boleh berlaku disebabkan pembentukan ais.

Jelas Mohd Ezairol, sekiranya sistem pemanas tiub ini gagal mengatasi masalah itu, ia akan menyebabkan sensor tersumbat.

Keadaan ini boleh mendatangkan bahaya kerana mengelirukan juruterbang.

“Penunjuk kelajuan di kokpit akan memaparkan data yang salah (sama ada terlalu laju atau terlalu perlahan).

“Ini mengelirukan juruterbang, menyebabkan mereka mengambil tindakan pembetulan yang salah, seperti menarik hidung pesawat ke atas sehingga mencetuskan stall,” ujarnya.

#5 Kehilangan Kawalan Ekor (Tailplane Stall)

Kongsi Mohd Ezairol lagi, pembentukan ais pada bahagian sirip ekor pesawat (horizontal stabilizer) merupakan satu perkara yang sangat bahaya.

“Ekor berfungsi untuk menolak bahagian belakang pesawat ke bawah bagi memastikan hidung kekal stabil.

“Jika ekor mengalami stall akibat ais, bahagian belakang pesawat akan terangkat ke atas secara tiba-tiba, menyebabkan hidung pesawat menjunam tajam ke bawah (pitch down) secara ekstrem, selaras dengan laporan kadar junaman melampau yang dialami pesawat ini,” kongsinya.

Sistem Sedia Ada Tak Mampu Cairkan Jika Kadar Pengumpulan Ais Ekstrem

Menerusi hantaran sama, Mohd Ezairol mendakwa pesawat seperti Learjet dilengkapi dengan sistem anti-ais antaranya seperti pemanas haba enjin atau deicing boots.

Namun jelasnya, sistem sedia ada kadangkala tidak mampu untuk mencairkan ais sepantas ia dibentuk khususnya jika kadar pengumpulan ais sangat ekstrem (severe icing).

Malaysia Pun Boleh Alami Masalah Pembentukan Ais

Kongsi Mohd Ezairol dalam hantaran berasingan, Malaysia juga boleh mengalami masalah pembentukan ais.

Malah, dia sendiri pernah mempunyai pengalaman berhadapan dengan situasi menakutkan itu.

Jelas Mohd Ezairol, kejadian berlaku kira-kira 14 tahun lalu ketika dia menerbangkan pesawat jenis King Air Beechcraft B350 sewaktu bertugas membawa individu penting (VIP) dari Kota Kinabalu ke Tawau, Sabah.

Kongsinya, pesawat yang diterbangkan terjunam dari ketinggian 17,000 kaki ke 15,000 kaki hanya dalam masa beberapa saat.

Namun keadaan berjaya dikawal pada ketinggian 15,000 kaki.

“Hasil daripada siasatan terperinci selepas itu, masalah pembentukan ‘clear ice’ pada ‘wing & elevator’ adalah penyebabnya.

“Icing tersebut dikhabarkan cair dan pecah sebaik sahaja pesawat berada di ketinggian 15,000 kaki.

“Itulah sebabnya kenapa kami dapat kawal semula kapal tersebut dari terus terjunam jatuh.

“Hampir 6 bulan juga masa yang aku perlukan untuk mengatasi rasa takut serta fobia akibat dari kejadian tersebut,” jelasnya lagi.

Baca Artikel Berkaitan: Nahas Helikopter: Ada Tanya Kenapa Mangsa Tak Lompat Keluar & Tak Sedia Payung Terjun? Ini Penjelasan Bekas Jurulatih Pilot

Baca Artikel Berkaitan: Eksperimen: Ini Bahagian Tempat Duduk Paling ‘Selamat’ Jika Pesawat Terhempas [Video]

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved