
ACEH TAMIANG – Menerusi perkongsian terkini di akaun Threads miliknya, pempengaruh popular Indonesia yang berasal dari Malaysia, Aisar Khaledd, terus komited meneruskan misi kemanusiaan di Aceh Tamiang, antara kawasan paling teruk terjejas susulan banjir lumpur besar yang melanda Sumatera baru-baru ini.
Dalam hantaran terbaharu itu, Aisar turut menulis kapsyen penuh emosi, “Sumatera berduka, kita sebagai manusia masih punya hati.” disertai simbol pilu 

, menggambarkan rasa dukacita serta empati terhadap nasib penduduk yang terkesan.
Dalam perkongsian sama, Aisar dilihat menghantar bekalan air bersih serta bantuan makanan kepada penduduk yang masih bergelut dengan kesan bencana. Kehadirannya disambut penuh kegembiraan oleh warga tempatan yang jelas terharu dengan keprihatinan yang ditunjukkan.
Terdahulu, The Malaysian Update pernah melaporkan bahawa Aisar Khaledd merupakan antara pempengaruh dari Malaysia yang bukan sahaja paling dikenali di Aceh, malah di seluruh Indonesia. Namanya tidak asing dalam kalangan penduduk tempatan kerana beliau sudah beberapa kali turun padang ke wilayah itu bagi melaksanakan misi kemanusiaan, termasuk bantuan pascabencana serta penglibatan secara langsung dalam program sokongan komuniti.
Kehadiran Konsisten, Bukan Sekadar Sekali Lalu
Terbaharu, Aisar sekali lagi memilih untuk turun sendiri ke Aceh sebagai tanda solidariti selepas kawasan itu berdepan kesan pasca banjir yang cukup dahsyat. Bagi penduduk setempat, kehadirannya bukan bersifat sementara, sebaliknya konsisten dan berterusan, sekali gus menjadikan namanya sinonim dengan keprihatinan dan solidariti merentasi sempadan negara.
Digelar ‘Wira Cahaya’ Selepas Pulihkan Elektrik
Sebelum ini, Aisar turut meraih pujian meluas apabila tampil membantu penduduk Aceh Tamiang yang terpaksa hidup hampir sebulan dalam kegelapan akibat kerosakan teruk infrastruktur bekalan elektrik.
Usahanya menyalurkan semula bekalan elektrik kepada komuniti terjejas menyebabkan beliau digelar ‘wira cahaya’ oleh penduduk, sekali gus mengembalikan sinar harapan kepada ribuan mangsa yang terkesan.
Wilayah Aceh Tamiang dilaporkan mengalami kemusnahan besar melibatkan infrastruktur asas, termasuk sistem bekalan elektrik. Situasi ini bukan sahaja menyukarkan urusan harian, malah memberi kesan besar terhadap emosi dan kesejahteraan penduduk, khususnya kanak-kanak, warga emas dan golongan rentan.
Menurut maklumat terbaharu yang dikeluarkan Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), jumlah korban jiwa akibat banjir dan tanah runtuh di Sumatera terus meningkat. Setakat Isnin, 22 Disember 2025, seramai 1,106 orang disahkan terkorban, susulan penambahan 16 kematian baharu dalam tempoh sehari.
Jurucakap BNPB, Abdul, berkata berdasarkan penemuan dan proses identifikasi terkini, angka korban melibatkan beberapa wilayah terjejas termasuk Provinsi Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat. Kenyataan itu disampaikan dalam satu sidang media secara virtual hari ini.
Komen Netizen Penuh Doa, Sokongan & Penghargaan
Ruangan komen pada perkongsian terbaharu Aisar Khaledd itu dibanjiri pelbagai reaksi positif daripada netizen Indonesia yang rata-rata meluahkan rasa terharu dan penghargaan terhadap usaha berterusan pempengaruh berkenaan.
Antara komen yang mencuri perhatian, seorang pengguna menulis, “Terima kasih ya… semoga cepat-cepat naik haji,” sekali gus mengundang reaksi sebak netizen lain yang tersentuh dengan doa ikhlas tersebut.
Tidak kurang juga yang menyentuh keteguhan Aisar meneruskan misi kemanusiaan walaupun sebelum ini pernah berdepan kecaman.
“Dia memang tak serik buat kebaikan. Lepas dibuli hanya kerana membantu sambil berkongsi konten, dia masih teruskan juga. Bezanya kali ini di tempat yang benar-benar menghargainya,” tulis seorang netizen.
Sebahagian pengguna media sosial turut menegaskan bahawa soal kandungan bukanlah isu utama, sebaliknya kehadiran dan bantuan itu sendiri memberi makna besar kepada mangsa bencana.
“Sama ada konten atau tidak, terima kasih kerana hadir untuk Sumatera. Semoga hidupmu sentiasa dalam keberkatan,” komen seorang lagi pengguna.
Malah, ada yang mengakui usaha Aisar membuatkan mereka tersentuh hingga menitiskan air mata.
“Kamu yang membantu, kami pula yang menangis. Terima kasih orang baik. Semoga Allah SWT menggantikan segala kebaikanmu dengan rezeki, kesihatan dan keberkatan berlipat ganda,” tulis seorang netizen.
Rata-rata netizen sepakat mendoakan agar Aisar Khaledd terus dilindungi, dipermudahkan urusan serta diberikan kekuatan untuk meneruskan misi kemanusiaan demi membantu mereka yang memerlukan.
Dalam suasana duka pascabencana, kehadiran Aisar Khaledd bukan sekadar membawa bantuan fizikal, malah meniupkan semangat, harapan dan rasa persaudaraan buat warga Aceh yang sedang bangkit membina semula kehidupan. – The Malaysian Update
The post Aisar Khaledd Teruskan Misi Kemanusiaan, Bantu Warga Aceh Tamiang Pasca Banjir Lumpur appeared first on The Malaysian Update.

