Ajaib, Lelaki Ditemukan Masih Hidup Selepas Terjatuh Tebing Setinggi 70 Meter

15 Feb 2023 • 2:38 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Ajaib, Lelaki Ditemukan Masih Hidup Selepas Terjatuh Tebing Setinggi 70 Meter

Seorang lelaki di Thailand ditemukan masih hidup selepas terjatuh dari tebing setinggi 70 meter di Phu Thap Burk, di wilayah tengah Phetchabun, lapor The Thaiger.

Khaosod melaporkan pada pagi ini bahawa lelaki yang dipercayai pelancong dari wilayah Pathum Thani itu terjatuh dari viewpoint di Gunung Phu Thap Burk.

Lelaki itu dilapor terjatuh ketika sedang cuba mengambil gambar pada awal pagi tadi. Identiti lelaki itu masih belum diketahui.

Seorang saksi melaporkan kejadian itu kepada pasukan penyelamat bahawa, lelaki itu mengembara sendiri. Dia kemudiannya meminta seorang remaja di tempat kejadian untuk mengambil gambarnya.

Semasa sedang mencari posisi yang terbaik, dia telah melangkah ke belakang lalu tergelincir dan jatuh.

Menurut laporan media, Somboon Muendate, ketua Yayasan Ruam Katanyu, menyatakan bahawa puncak Phu Thap Burk adalah tempat kegemaran pelancong untuk bergambar. Ini kerana puncak itu mempunyai latar belakang yang indah.

Selepas mengetahui tentang kejadian seorang lelaki telah terjatuh dari tebing tinggi yang curam itu, Somboon dan pasukannya segera bergerak ke lokasi.

Mangsa dijumpai terselamat tanpa mengalami kecederaan serius

Walaupun keadaan muka bumi yang mencabar, mereka berjaya turun dengan berhati-hati untuk menyelamatkan lelaki itu. Apa yang mengejutkan ialah lelaki tersebut didapati tidak mengalami kecederaan yang teruk.

Somboon berpendapat bahawa mangsa telah bernasib baik dan berkemungkinan dia telah mendarat di atas pokok pisang dan rumput tebal.

Mangsa dilaporkan mengalami kesakitan di seluruh badan tetapi tidak mengalami sebarang kecederaan serius. Dia menerima pertolongan cemas dan kemudian dibawa ke Hospital Somdet Phra Yupparat Lomkao untuk pemeriksaan lanjut.

Kejadian itu dikatakan serupa dengan kisah seorang lagi lelaki yang terselamat dalam kejadian serupa di wilayah selatan Phattalung tahun lalu.

Dalam kejadian terdahulu, lelaki berusia 47 tahun, Amnuay Rattanachotiyo berjaya diselamatkan dari tebing tinggi. Lelaki tersebut dilaporkan telah terjatuh kira-kira 30 meter ke atas tanah selepas tersepit hampir dua hari.

Sumber: The Thaiger