Akal budi dan adab cerminan mahasiswa

Opinion
28 Sep 2026 • 11:11 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Akal budi dan adab cerminan mahasiswa

AHLI falsafah, Socrates menyatakan bahawa ilmu sejati bermula dengan kesedaran tentang kejahilan diri. Sikap rendah diri merupakan sebahagian daripada adab intelektual yang penting.

Socrates tidak mendakwa dirinya mengetahui segala-galanya, sebaliknya sentiasa bertanya dan berdialog untuk mencari kebenaran. Ini membuktikan bahawa adab merupakan nilai universal dalam menuntut ilmu.

Menuntut ilmu bukan sekadar usaha mengumpulkan maklumat atau menguasai kemahiran teknikal, sebaliknya merupakan suatu proses pembentukan diri yang menyeluruh. Ilmu yang benar tidak akan membuahkan manfaat tanpa adab yang mendasarinya.

Konsep menuntut ilmu bersulam adab menjadi asas penting untuk melahirkan insan yang bukan sahaja bijaksana, tetapi berakhlak tinggi dan bertanggungjawab terhadap masyarakat.

Adab dalam menuntut ilmu adalah disiplin dalaman dan luaran seorang penuntut ilmu. Ia meliputi niat yang ikhlas, penghormatan terhadap guru, kesungguhan dalam pelajaran dan kesedaran tentang ilmu.

Tanpa adab, ilmu boleh menjadi alat yang merosakkan, melahirkan individu yang sombong, manipulatif dan hilang pedoman. Sebaliknya dengan memiliki adab, ilmu akan menjadi cahaya yang membimbing manusia ke arah kebenaran dan keadilan.

Almarhum Prof. Diraja Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas pernah menegaskan bahawa persoalan paling mendasar yang dihadapi umat Islam adalah kehilangan adab. Kehilangan adab ini kemudiannya melahirkan kekeliruan dan kesilapan dalam memahami ilmu.

Adab adalah perkara asas dalam ilmu akhlak dan tidak boleh dihadkan kepada sopan santun dan etika. Adab adalah perbuatan yang benar, menuntut disiplin akli, rohani dan jasmani.

Dalam konteks pendidikan, seseorang pelajar perlu memahami kedudukan dirinya, gurunya, ilmu yang dipelajari dan tujuannya.

Matlamat akhir pendidikan adalah untuk mengenal dan mendekatkan diri kepada Tuhan. Dunia pendidikan tinggi adalah fasa baharu mahasiswa yang memerlukan kematangan, kemandirian dan integriti peribadi. Transisi itu tidak hanya bersifat akademik, malah memerlukan kekuatan mental dan spiritual.

Dalam hal ini, konsep adab menuntut ilmu yang diajarkan dalam agama menjadi sangat relevan dan memiliki implikasi praktis yang kuat bagi mahasiswa baharu.

Za’ba dalam penulisan bertajuk Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri menjelaskan, kelemahan sahsiah adalah punca utama kelemahan sesuatu bangsa.

Kemunduran tersebut disebabkan tidak percaya pada kebolehan diri, lemah cita-cita, kurang hemah dan terlalu bergantung diri dan harapan kepada orang lain.

Sikap terlalu bergantung pada orang lain boleh melahirkan pelbagai sifat negatif.

Antaranya, tidak mahu berfikir sendiri dan tidak mencari serta menggunakan ilmu yang dapat memperdalamkan pengetahuan.

Za’ba menegaskan, pendidikan merupakan elemen penting dalam memantapkan kedudukan orang Melayu.

Dunia moden yang bergerak dengan pantas memerlukan kesungguhan dan kepekaan mahasiswa menyerap ilmu baharu. Mereka perlu beradaptasi dengan persekitaran yang kompleks dan lingkungan akademik lebih mandiri.

Hal demikian menuntut mahasiswa berupaya menghadapi perubahan budaya belajar dan tekanan sosial yang dapat mempengaruhi sahsiah serta motivasi mereka. Pencapaian akademik dan pembangunan diri perlu dipertingkatkan agar mahasiswa mampu bersaing dalam dunia semasa.

Konsep bekerjasama yang dianjurkan membawa pengertian saling bantu-membantu dan mengikut kepakaran masing-masing.

Sikap tersebut sangat diperlukan dalam kehidupan di universiti. Hal ini akan mengangkat martabat mahasiswa ke tahap lebih cemerlang.

Dalam menghadapi persaingan hebat dunia semasa, Za’ba berpesan agar tidak leka dan berasa selesa dengan apa dimiliki.

Persepsi yang suka mengharapkan bantuan daripada pihak kerajaan sebelum menunjukkan keupayaan dan kecemerlangan diri perlu diubah.

Pembinaan jati diri yang unggul hanya dapat dicapai dengan kewujudan sikap positif. Ini meliputi kekuatan iman, keyakinan, amanah, kesungguhan menjalankan kewajipan dan tidak melupakan agama sebagai benteng kukuh.

Mahasiswa berketerampilan perlu memiliki jati diri yang merangkumi pelbagai dimensi berupa adat-istiadat, budaya, pendidikan dan ilmu.

Ciri-ciri unik tersebut seharusnya menjadi asas untuk memajukan diri melalui pemikiran yang analitikal, kritikal dan berunsurkan nilai sejagat.

Seharusnya kita melihat pandangan Za’ba terhadap sikap masyarakat pada masa itu dan kerelevanannya untuk kehidupan masa kini. Sesungguhnya kemiskinan sikap positif dalam melakukan sesuatu perkara adalah faktor utama kegagalan.

Dalam situasi terkini, mod pembelajaran di universiti dipelbagaikan. Justeru, tanggungjawab pendidik adalah sentiasa mengingatkan mahasiswa agar menjaga adab dan akhlak semasa proses pembelajaran, walaupun diadakan secara dalam talian.

Yakinlah bahawa dengan berusaha untuk menjaga adab dan akhlak yang mulia, pasti akan memberikan keberkatan dan kebaikan kepada mahasiswa. Implikasi lain daripada adab adalah kesungguhan, berdisiplin dan bijak dalam pengurusan waktu. Ini kerana, pembelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) memberikan kebebasan kepada mahasiswa dalam merencanakan jadual dan strategi pembelajaran. Tanpa menerapkan disiplin, mahasiswa akan tercicir dan kehilangan fokus dalam pembelajaran.

Di peringkat IPT, pengisian ketika minggu suai kenal pelajar baharu juga perlu diberikan tumpuan kepada pembinaan adab dan sahsiah dalam kehidupan.

Pengisiannya juga boleh dimasukkan ketika sesi pembelajaran akademik dan kokurikulum. Integrasi nilai dan adab dalam kurikulum atau program pengembangan diri juga dapat menjadi strategi efektif untuk membentuk budaya akademik berakhlak.

The post Akal budi dan adab cerminan mahasiswa appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved