Akaun 3 KWSP Dilancarkan, Ini Perkara Yang Anda Perlu Tahu

11 May 2024 • 5:28 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Akaun Baru KWSP Beri Peluang Pengurusan Simpanan Lebih Baik

Akaun 3 KWSP Dilancarkan, Ini Perkara Yang Anda Perlu Tahu. Selepas menanti selama bertahun-tahun, akhirnya pengumuman mengenai penstrukturan semula akaun ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah dibuat.

Perubahan ini bakal memberi lebih banyak fleksibiliti kepada anda dalam menguruskan wang simpanan untuk keperluan masa depan dan jangka pendek. Ia juga mengukuhkan keselamatan pendapatan selepas persaraan dan menangani keperluan segera.

image is not available

Akaun 3 KWSP Dilancarkan, Ini Perkara Yang Anda Perlu Tahu

Seperti yang diumumkan oleh KWSP, tiga akaun tersebut adalah:

  • Akaun Persaraan: Sebelum ini dikenali sebagai Akaun 1, berfungsi sebagai simpanan untuk persaraan.
  • Akaun Sejahtera: Sebelum ini dikenali sebagai Akaun 2, direka untuk memenuhi pelbagai keperluan kitaran hidup.
  • Akaun Fleksibel: Memberikan fleksibiliti untuk keperluan kewangan jangka pendek. Simpanan dalam akaun ini boleh dikeluarkan pada bila-bila masa.

Kadar dividen yang sama akan terpakai kepada ketiga-tiga akaun. Buat masa ini, penstrukturan semula akaun KWSP tidak akan mengubah polisi semasa dalam menentukan kadar dividen.

Bermula dari 11 Mei 2024, caruman baru akan dikreditkan kepada Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera, dan Akaun Fleksibel anda seperti berikut:

image is not available

image is not available

Apabila penstrukturan akaun dilaksanakan, baki sedia ada dalam Akaun 1 dan Akaun 2 akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera masing-masing. Manakala, Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar. Boleh lihat contoh di bawah:

image is not available

Antara 12 Mei 2024, dan 31 Ogos 2024, ahli akan mempunyai pilihan satu kali untuk memindahkan sebahagian baki simpanan Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel sebagai amaun permulaan, dan tindakan ini tidak boleh dibatalkan setelah selesai.

Penentuan amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel bergantung pada sama ada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera di bawah atau melebihi RM3,000 pada tarikh permohonan dibuat.

Had maksimum pengeluaran akaun Fleksibel adalah RM250 sehari

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meletakkan had maksimum pengeluaran wang daripada Akaun Fleksibel secara terus adalah RM250 sahaja sehari.

Menurut paparan maklumat di aplikasi KWSP i-Akaun, ahli yang mahu mengeluarkan wang melebihi RM250 perlu melalui proses electronic Know-Your-Customer (e-KYC) secara dalam talian atau menggunakan alternatif lain seperti mengunjungi pejabat KWSP terdekat bagi pengesahan cap jari.

Untuk memulakan pemindahan satu kali ini, anda boleh memohon melalui aplikasi KWSP i-Akaun, atau anda juga boleh mengunjungi mana-mana pejabat KWSP untuk memohon melalui Terminal Khidmat Sendiri (SST) bermula dari 12 Mei 2024.

Sekiranya anda tidak memilih untuk memindahkan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel, baki dalam akaun sedia ada akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera. Sementara itu, bermula 11 Mei 2024, caruman baru akan dikreditkan ke Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera, dan Akaun Fleksibel.

Permohonan hanya boleh dibuat sekali melalui aplikasi KWSP i-Akaun dalam tempoh yang ditetapkan (12 Mei hingga 31 Ogos 2024) dan tidak boleh dibatalkan setelah dibuat. Bagi mereka yang memohon, permohonan anda dijangka akan diluluskan dalam tempoh 3-5 hari bekerja.

Cara keluarkan simpanan dari akaun Fleksibel

Anda boleh mengeluarkan dari Akaun Fleksibel pada bila-bila masa melalui aplikasi KWSP i-Akaun. Setelah diproses, dana akan disalurkan terus ke akaun bank anda. Penting untuk diambil perhatian bahawa terdapat jumlah pengeluaran minimum sebanyak RM50.

Tiada dokumen diperlukan untuk dikemukakan. Walau bagaimanapun, anda perlu menyediakan nombor akaun bank yang aktif untuk memudahkan pemprosesan pembayaran. Sekiranya anda tidak mempunyai akaun bank aktif, anda boleh memilih Perintah Pembelian melalui aplikasi KWSP i-Akaun, dengan mengikuti langkah yang sama.

Penstrukturan semula akaun KWSP melibatkan semua ahli KWSP, termasuk bukan warganegara Malaysia yang belum mencapai usia 55 tahun pada 11 Mei 2024. Apabila mereka mencapai usia 55 tahun, sebarang baki simpanan di seluruh tiga akaun mereka akan dipindahkan ke Akaun 55, dengan sebarang caruman berikutnya dikreditkan ke Akaun Emas.