Akaun dibeku: Bersatu Kelantan sedia disiasat

Politics
1 Feb 2023 • 5:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kamaruddin Md Noor

KOTA BHARU - Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Kelantan belum menerima sebarang maklumat daripada Bersatu Pusat mengenai tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun parti itu.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri, Datuk Kamaruddin Md Noor bagaimanapun berkata, Bersatu Kelantan tetap terbuka dan tiada sebarang rahsia jika disiasat.

"Kita bukan parti 'bawah tanah' dan sentiasa bersedia jika ada pihak mahu melakukan siasatan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Kamaruddin juga enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan menyerahkan kepada Bank Negara untuk tindakan lanjut.

"Saya pun tiada sebarang komen kerana tidak tahu mengenai isu ini dan belum dimaklumkan oleh Bersatu Pusat atau pihak bank," katanya.

Sebelum ini, sumber dalaman parti itu memaklumkan SPRM bertindak membekukan akaun-akaun parti Bersatu.

Mereka mendakwa, tindakan tersebut diambil dipercayai berkaitan dakwaan penyelewengan berbilion ringgit dalam pakej rangsangan Covid-19.

Sumber itu turut memaklumkan, semua akaun parti itu dibekukan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.