Akaun GX Bank Anda Akan Ditutup Selepas 3 Bulan Sekiranya Tiada Deposit Wang

TechnologyDigital
19 Feb 2024 • 12:47 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pada penghujung tahun lepas, Grab telah memperkenalkan penawaran bank digital mereka, GX Bank sebagai satu cara mudah untuk orang ramai membukan sebuah bank akaun untuk simpanan dan kegunaan pembelian secara digital dan juga fizikal dengan penawaran kad debit.

Saya telah membuka akaun GX Bank saya pada penghujung bulan November 2023, tetapi tidak memasukkan wang kedalam akaun tersebut kerana tiada keperluan untuknya sehingga kini. Akan tetapi, hari ini saya telah menerima emel daripada GX Bank yang mengatakan bahawa akaun saya akan ditutup dalam masa tiga hari.

image is not available

Nampaknya had masa pembukaan akaun tanpa melakukan sebarang deposit adalah tiga bulan daripada pendaftaran akaun, dimana pihak GX Bank akan menghantar anda notis penutupan akaun sekiranya tiada deposit (minima RM10) dilakukan sepanjang waktu tersebut.

image is not available

Saya akan membiarkan akaun ini ditutup dan akan mencuba untuk mendaftar dengan alamat emel yang sama untuk melihat samada ia dibenarkan ataupun tidak. Setakat ini saya telah membaca bahagian FAQ GX Bank dan tiada apa yang dikatakan mengenai penutupan akaun oleh GX Bank, kecuali bahawa akaun anda akan ditetapkan sebagai tidak aktif oleh GX Bank sekiranya ia tidak mengesan sebarang transaksi wang selepas 12 bulan selepas transaksi terakhir.

Kemaskini: Grab (ibu syarikat GX Bank) telah memberi penjelasan tentang apa yang berlaku kepada akaun saya, dan juga tentang status tidak aktif akaun bank yang tiada sebarang transaksi dilakukan selepas 12 bulan.

Untuk akaun GX Bank yang tidak mempunyai sebarang deposit dilakukan selepas tiga bulan dibuka, Grab mengatakan bahawa penutupan akaun tersebut dilakukan sebagai satu langkah keselamatan, mungkin untuk mengelakkan daripada akaun tersebut digunakan untuk sebarang salah-laku.

Tentang status tidak aktif mana-mana akaun GX Bank pula, sekiranya tiada sebarang transaksi dikesan, samada untuk menerima ataupun memberi wang, kecuali oleh pihak GX Bank untuk tujuan pelaburan, akaun tersebut boleh dikenakan cas bayaran tahunan untuk mengekalkan pembukaan akaun tersebut. Jumlah cas ini kami akan kemaskini apabila pihak GX Bank mengesahkan nilainya kepada kami kelak.

Grab juga mengatakan sekiranya baki akaun tersebut tidak mencukupi untuk membayar cas ini, keseluruhan baki akaun tersebut akan diambil, dan akaun tersebut kemudiannya akan ditutup selepas 14 hari akaun tersebut dikosongkan.