
Pada April lalu, Roblox melancarkan akaun Roblox Kids dan Roblox Select bagi mengawal akses permainan bagi remaja berumur bawah 16 tahun. Kedua-dua jenis akaun ini akhirnya dilancarkan di peringkat global termasuk Malaysia selepas diuji di Australia, Belanda, Indonesia, dan New Zealand.
Akaun Roblox Kids adalah untuk pemain berumur antara 5–8 tahun dengan ia memberikan akses kepada permainan dengan pengelasan Minimal atau Mild. Secara lalai semua ciri pemesejan dan komunikasi dimatikan serta antaramuka dengan warna latar lain diberikan.

Roblox Select pula adalah untuk pemain berusia 9-15 tahun dengan tetapan permainan dengan pengelasan Moderate. Tetapan pemesejan adalah kekal seperti biasa dan terdapat juga visual berbeza untuk menunjukkan jenis akaun. Akaun akaun berubah secara automatik ke akaun standard selepas pemain meningkat ke usia 16 tahun dan ke atas.
Bagi pengguna berusia 16 tahun dan ke atas, pengesahan umur perlu dilakukan sebelum boleh mengakses kandungan dengan pengelasan usia lebih matang.
Sementara itu ibu bapa serta penjaga boleh menyekat permainan tertentu, menguruskan tetapan chat dan meluluskan permainan tertentu yang tidak tersedia mengikut tetapan lalai akaun anak sehingga mereka berumur 15 tahun.
Pengenalan akaun untuk kanak-kanak dan remaja yang dilakukan Roblox ini adalah bagi mematuhi permintaan beberapa negara termasuk Malaysia yang ingin menghalang akses permainan video serta media sosial kepada pengguna bawah umur.




