
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (20 Mei), Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor atau Royal Press Office menggesa agar tindakan tegas dapat diambil terhadap pihak yang menghasilkan akaun TikTok palsu memfitnah atau menghina Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Ibrahim.
Menurut Royal Press Office dalam satu kenyataan, akaun berkenaan yang memakai nama ‘Sultan Ibrahim Ismail’ dikesan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan menyebarkan kandungan berunsur penghinaan terhadap Sultan Ibrahim.
Guna AI Cipta Kandungan Kononnya YDPA Suka Makan Khinzir
Jelas mereka, antara kandungan yang dimuat naik adalah gambar yang memaparkan Sultan Ibrahim didakwa seorang yang gemar memakan khinzir.
Hantaran terbabit ternyata tidak benar malah menyentuh sensitiviti apatah lagi peranan baginda sebagai Raja Melayu dan Ketua Negara Beragama Islam.
“Royal Press Office turut melahirkan rasa kesal terhadap satu lagi imej dalam akaun berkenaan yang memaparkan wajah Seri Paduka Baginda dipadankan pada tubuh seekor haiwan, yang jelas bersifat menghina dan tidak bertanggungjawab,” katanya.
Mahu MCMC Ambil Tindakan Tegas
Royal Press Office dalam kenyataan tersebut turut memaklumkan bahawa perbuatan terbabit adalah satu penghinaan amat serius serta berniat jahat terhadap institusi diraja.
“Sehubungan itu, Royal Press Office amat berharap Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat,” jelas mereka.
Perbuatan Hina Agong Satu Jenayah, Cabar Institusi Diraja – ADUN Larkin
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah menjelaskan perbuatan biadab pihak yang mewujudkan akaun palsu menghina Sultan Ibrahim disifatkan sebagai satu jenayah besar.
Ini kerana jelasnya perbuatan tersebut melukai perasaan Bangsa Johor dan seluruh rakyat Malaysia.
Hantaran Bukan Sekadar Jenaka Atau Satira
Hairi yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi Negeri Johor berpendapat apa yang dilakukan oleh pihak berkenaan bukan sekadar jenaka atau satira.
“Tindakan biadab ini dikesan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menghasilkan kandungan fitnah bersandarkan imej yang diubah suai secara melampau.
“Begitu juga imej baginda yang dipadankan pada tubuh binatang, ia mencerminkan tindakan yang tidak berperikemanusiaan, biadab dan bertentangan dengan nilai-nilai murni masyarakat majmuk Malaysia.
“Semakan Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (Royal Press Office) mendapati akaun palsu menggunakan nama Sultan Ibrahim Ismail itu memuat naik kandungan yang menyentuh sensitiviti agama dan institusi diraja.
“Antara kandungan yang dimuat naik adalah imej Seri Paduka Baginda yang kononnya memaparkan baginda gemar memakan daging khinzir, serta imej wajah baginda yang dipadankan pada tubuh seekor binatang,” katanya.
Malah jelas Hairi, tindakan akaun berkenaan yang mendakwa YDPA makan daging khinzir adalah penghinaan kepada agama Islam memandangkan Seri Paduka Baginda merupakan Ketua Agama Islam bagi Persekutuan selain dilihat memfitnah seorang Ketua Negara.
Mahu Pihak Berkaitan Ambil Tindakan Tegas
Tegas Hairi, Kementerian Komunikasi seharusnya tidak mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ dan bekerjasama dengan MCMC serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan pelaku.
Dia turut menggesa agar kerajaan mengambil tindakan tegas dengan menjalankan siasatan serta pendakwaan bawah peruntukan undang-undang sedia ada.
Ia termasuk Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan Akta Fitnah 1957.
Baca Artikel Berkaitan: Isu Staf Hina Agong: UiTM Kecam Tindakan Kakitangan & Serah Kepada Pihak Polis Untuk Siasatan
Baca Artikel Berkaitan: “FB Saya Verified” – Cayson Goh Nafi Hina YDPA, Dakwa Ada Pihak Menyamar Guna ‘Fake Account’






