Akhiri kemarau di tempat lawan, Napoli terus kejar impian Scudetto

Football
20 Apr 2025 • 11:32 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
McTominay meraikan jaringan tunggal Napoli ketika menjinakkan Monza dalam aksi Serie A di Stadium Brianteo. FOTO: AFP

PENGENDALI Napoli, Antonio Conte percaya bahawa pemain Si Keldai Kecil sentiasa memberikan yang terbaik ketika mereka konsisten dalam perebutan kejuaraan Serie A kedua dalam tempoh tiga tahun.

Jaringan menerusi tandukan separuh masa kedua Scott McTominay sebelum itu memberikan kemenangan 1-0 buat Napoli ke atas Monza di Stadium Brianteo pada Ahad.

Tiga mata diraih Napoli menyaksikan skuad Conte buat sementara waktu menyamai mata pendahulu liga, Inter Milan, sebelum juara bertahan itu bertandang ke Bologna pada Isnin.

“Kita sedang berjuang untuk sesuatu yang tidak dijangka dan tidak terbayangkan.

“Pada awal tahun, siapa yang menyangka Napoli akan bersaing dengan Inter untuk tempat pertama? Kita benar-benar melangkaui segala batasan,” kata Conte dalam sidang media.

Juara 2023 itu yang bergelut dalam perlawanan di tempat lawan baru-baru ini, akhirnya meraih kemenangan pertama di tempat lawan sejak pertengahan Januari ketika menewaskan Atalanta, 3-2 di Bergamo.

Pada masa sama Conte mengakui gembira apabila Si Keldai Kecil berjaya mengakhiri kemarau kemenangan di laman lawan.

“Di tempat lawan, kita sudah lama tidak menang. Hari ini kita berjaya melakukannya dan saya juga gembira dengan fakta bahawa pasukan sentiasa fokus dalam permainan, satu petanda kematangan yang hebat.

“Kita perlu terus percaya dan mengharapkan sedikit tuah. Malangnya, nasib kurang memihak kepada kita sejak Januari.

“Namun, kita percaya padanya, pemain-pemain wajar dipuji dalam masa-masa sukar. Dalam masa sukar inilah kita sedang membina asas yang penting. Melihat semua penyokong ini menyokong kita dan bermimpi bersama kita amat menggembirakan tetapi ia memberikan saya tanggungjawab yang besar,” kata Conte.

Dengan baki lima perlawanan, Napoli hanya akan berdepan dengan pasukan dari kedudukan ke-10 dan ke bawah berdasarkan kedudukan liga semasa.

Sebagai rekod, Si Keldai Kecil akan menerima kunjungan Torino yang berada di tangga ke-10 pada 28 April.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved