
Sebagai anak kelahiran Sabah yang pernah melalui kesukaran mencari ruang dalam industri seni, penyanyi Marsha Milan melihat kemunculan Borneo Rising sebagai satu peluang besar untuk membuka jalan kepada lebih ramai bakat dari Sabah dan Sarawak.
Terpilih sebagai salah seorang juri tetap program realiti terbaharu Astro itu, Marsha mengakui berasa bangga melihat semakin ramai bakat dari Borneo memiliki potensi besar untuk diketengahkan sebagai pelapis industri seni tanah air.
“Saya sangat bersyukur akhirnya Sabah diberikan platform seperti ini kerana pada zaman saya sekitar 2005, peluang sebegini sangat sukar diperoleh. Lebih-lebih lagi apabila sesi uji bakat dilakukan di beberapa daerah di Sabah dan Sarawak. Saya rasa pendekatan itu membolehkan pihak produksi meneroka bakat dari pelbagai pelosok kedua-dua negeri. Dalam situasi sebegini, lebih mudah untuk kita mencari bakat pelapis dalam industri seni dan seterusnya menggilap mereka.
“Saya sangat berbangga dan gembira melihat lebih ramai bakat dari Borneo yang berpotensi menjadi pelapis dalam industri, insya-Allah,” katanya ketika ditemui di sidang media Borneo Rising, baru-baru ini.
Mengimbas kembali perjalanan seninya, Marsha berkata, pada awal pembabitannya dia sendiri tidak pernah membayangkan bidang seni mampu menjadi kerjaya yang kukuh seperti hari ini kerana kekurangan platform.
“Dahulu, saya sendiri tidak merasakan apa yang saya lakukan sekarang boleh dianggap sebagai satu kerjaya yang sebenar. Mungkin kerana ketika itu tidak banyak platform yang melihat bidang seni sebagai satu kerjaya.
“Tetapi sekarang sudah banyak program televisyen yang menggilap bakat penyanyi dan pelakon. Pada zaman saya dahulu, peluang seperti itu tidak banyak. Nasib baik saya berasal dari Tamparuli, jadi perjalanan untuk ke Kota Kinabalu ketika itu tidaklah terlalu jauh. Tetapi bayangkan mereka yang tinggal di Pantai Timur Sabah dan kawasan lain. Kemudahan pengangkutan untuk pergi ke sesi uji bakat pun mungkin menjadi satu masalah,” jelasnya.
Justeru, Marsha menyifatkan kewujudan program Borneo Rising sebagai perkembangan positif kerana bakat dari Sabah dan Sarawak kini mempunyai saluran yang lebih luas untuk memperkenalkan kemampuan mereka.
“Saya sangat bersyukur akhirnya ada pihak lihat bakat pengkarya dari Borneo dan menyediakan ruang untuk mereka. Insya-Allah, kini mereka mempunyai jalan untuk diketengahkan,” katanya.

Kekal profesional dalam mengadili
Dalam pada itu, penyanyi lagu Hening Rindu tersebut percaya Sabah dan Sarawak tidak pernah ketandusan penyanyi berbakat, sebaliknya sebahagian daripada mereka mungkin belum memperoleh peluang yang tepat.
“Sejak awal kemunculan saya dalam industri, saya memang tahu ramai yang berbakat. Saya pernah melihat sesi uji bakat termasuk ketika Akademi Fantasia 3. Majoritinya memang boleh menyanyi, cuma mungkin ketika itu belum ada rezeki mereka. Apabila saya bertemu orang lama dalam industri, ada juga yang memberitahu bahawa ramai penyanyi dari tempat saya mempunyai suara yang bagus.
“Saya berasa bangga kerana kita memang dapat melihat banyak potensi dalam kalangan penyanyi pelapis Sabah dan Sarawak. Cuma mungkin mereka belum mendapat peluang atau belum sampai rezeki,” katanya.
Berkongsi mengenai pendekatannya sebagai juri pula, Marsha berkata, dia tidak mahu hanya menilai kekuatan vokal peserta kerana aspek persembahan juga menjadi perkara penting untuk diberikan perhatian.
“Bagi saya, skop penilaian sebenarnya sangat luas kerana kita mungkin akan melihat bakat dan kemampuan yang berbeza-beza. Apa yang saya faham, peserta yang dipilih merupakan antara yang terbaik. Jadi saya yakin daripada segi vokal, mereka sememangnya mempunyai kemampuan.
“Namun, saya mahu melihat bagaimana mereka membuat persembahan. Ada antara mereka mungkin tidak pernah menyanyi di pentas yang besar. Situasinya tentu sangat berbeza. Di situlah tanggungjawab saya bersama juri-juri lain untuk membantu menggilap lagi bakat mereka.
“Bagi saya, pemilihan lagu sangat penting. Bagaimanapun, saya kurang pasti sama ada peserta akan memilih lagu sendiri atau pihak produksi yang akan menentukannya. Kita nantikan,” tambhanya.
Ditanya mengenai kemungkinan perlu mengadili peserta yang dikenalinya, Marsha menegaskan hubungan peribadi tidak akan mempengaruhi penilaiannya.
“Saya memang sudah diminta untuk bersikap profesional. Kawan atau tidak, pemarkahan tetap berdasarkan persembahan yang ditunjukkan. Sebenarnya saya tidak terlalu rapat dengan mereka, cuma mengenali mereka.
“Bagi saya, itu satu kelebihan kerana saya sudah tahu bagaimana cara mereka membuat persembahan. Jadi sekarang saya mahu melihat apa lagi yang mereka belum pernah lakukan. Saya akan menilai daripada sudut itu,” katanya.
Selain Marsha, barisan juri Borneo Rising turut menampilkan Noh Salleh dan Shila Amzah, manakala Sherry Alhadad serta Zizan Razak bertindak sebagai pengacara program tersebut.
The post Akhirnya ada pihak lihat bakat pengkarya dari Borneo – Marsha Milan appeared first on Utusan Malaysia.





