
Akhlak menjadi tunjang utama dan asas sesebuah bangsa manusia. Kekuatan suatu bangsa tidak akan kekal selamanya dan yang kekal hanyalah kehalusan budi dan akhlak. Permasalahan akhlak ini secara tidak langsung terkait dengan generasi remaja kerana merekalah penerus bangsa sehingga kelak menjadi pemimpin. Pada era globalisasi ini dengan kemajuan sains dan teknologi semakin pesat, isu keruntuhan akhlak yang dihadapi dalam masyarakat kita sendiri semakin meningkat. Ini disebabkan oleh perkembangan teknologi dan komunikasi yang semakin meluas dan tanpa sempadan sehingga menyebabkan remaja, kanak-kanak mahupun tua dan dewasa terlalu leka terhadap duniawi. Penagungan metarialisme yang berlebihan sehinggakan berlaku pemisahan antara kehidupan dunia dan akhirat walaupun hakikat sebenar kehidupan bermula selepas kita dibangkitkan kelak dan dunia hanyalah tempat persinggahan atau rumah sementara bagi mukmin yang sebenar. Gejala ini sangatlah bertentangan dengan budaya luhur nenek moyang kita dahulu serta telah menyebabkan banyak krisis moral. Akhlak dan remaja, kedua-duanya merupakan aspek penting dalam melahirkan generasi beradab. Definisi akhlak menurut istilah ialah sifat yang tertanam di dalam diri yang dapat mengeluarkan sesuatu perbuatan dengan senang dan mudah tanpa pemikiran, penelitian dan paksaan. Manakala menurut islam yang berpegangkan kepada dua sumber utama dalam semua perkara iaitu Al-Quran dan As-Sunnah yang dimana kedua-dua ini menjadi sumber akhlak islamiyyah. Sepertimana utusan Nabi Muhammad S.A.W diutuskan untuk menyempurnakan akhlak seperti sabda Baginda S.A.W yang bermaksud: "Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak mulia." (HR al-Hakim)". Dalam islam hubungan manusia dengan Penciptanya merangkumi aspek akidah dan ibadah dan hubungan antara manusia dengan dirinya meliputi akhlak, makanan mahupun minuman dan pakaian. Manakala hubungan sesama manusia meliputi muamalah dan hukuman. Justeru, jelas disini akhlak adalah cerminan dari dalam diri seseorang.
Pada zaman moden ini, sebahagian masyarakat terutamanya remaja semakin memandang ringan terhadap akhlak dalam pendidikan jati diri mereka. Selain itu, kita dapat melihat bahawa sifat amanah dan jujur semakin dipinggirkan, dan membawa kepada kejahatan seperti penipuan, rasuah dan salah guna kuasa. Media menyiarkan berita tentang keruntuhan akhlak daripada kanak-kanak sehinggalah dewasa. Inilah hasilnya apabila jiwa manusia tidak diberi pendidikan akhlak, walaupun mereka mempunyai pendidikan tinggi namun adab kesopanan dan tatasusila luntur laksana bunga dedap, sungguh merah berbau tidak. Persoalannya siapakah individu yang terlibat dalam masalah keruntuhan akhlak ini, adakah remaja itu sendiri yang perlu dipersalahkan atas ketiadaan adab dan akhlak dalam diri mereka?. Remaja yang menghadapi masalah akhlak kebiasaannya datang dari latar belakang keluarga yang tidak memberikan mereka pendidikan agama. Hanya agama yang boleh membentuk jati diri mereka sejak awal peringkat umur lagi dan remaja perlu didedahkan mengenai agama sepenuhnya. Antara faktor ibu bapa kurang campur tangan dalam hal akhlak anak adalah kerana memberikan tanggungjawab itu kepada guru di sekolah. Ibu bapa terlalu sibuk bekerja sehinggakan masa berkualiti kepada anak-anak tidak dapat diberikan dan terbatas. Anak mereka akan merasakan seolah-olah tidak diraikan dengan kasih sayang dan akhirnya menyebabkan masalah komunikasi dan tiada persefahaman antara anak dan ibu bapa, terutama kepada anak yang meningkat dewasa kerana mereka memerlukan sokongan dan jalan dorongan daripada ibu bapa mereka. Pada tahap awal pendidikan, ibu bapa adalah guru pertama mereka dan jika serahkan hal jagaan kepada pembantu rumah bagi anak-anak dapat dijaga dan diasuh namun berkemungkinan pembantu kebanyakannya tidak mempunyai pengetahuan dan pengalaman. Cabaran ibu bapa kini adalah mengurus masa dengan cekap supaya hal kerja dan rumah dapat diuruskan sebaiknya. Selain itu, antara akibat kurang meluangkan masa bersama anak mengakibatkan anak akan lebih memilih rakan mereka untuk meluah masalah. Mereka akan mudah terpengaruh dan terdedah kepada pengaruh persekitaran dan rakan sebaya sehinggakan terjerumus melakukan perbuatan yang tidak bermoral. Tuntasnya, didikan akhlak dan ilmu agama perlu diambil berat oleh setiap ibu bapa kerana dengannya pembentukan peribadi seseorang akan teguh dan dari situlah akan timbulnya kesedaran diri untuk memilih dan tahu membezakan antara baik dan buruk kepada diri mereka. Jadinya, institusi keluarga perlu memainkan peranan penting dan mengambil inisiatif bijak dalam menguruskan peribadi anak-anak. Namun, adakah ibu bapa yang perlu dipertanggungjawabkan sepenuhnya dalam membina sahsiah dan akhlak yang baik kepada remaja iaitu anak-anak mereka?
Selain institusi keluarga, institusi pendidikan turut dipersalahkan dalam hal ini. Ini kerana remaja banyak meluangkan hari mereka di sekolah dan guru adalah ibarat ibu bapa kedua mereka. Jika dahulu kita sering melihat masalah adab dan akhlak murid terhadap guru, namun sekarang banyak muncul guru menyalahgunakan murid seperti kes guru menjadikan murid sebagai “content” di media sosial mereka demi mengejar populariti dan untuk mendapat habuan peribadi. Kerajaan turut tidak akan berkompromi terhadap sebarang isu pelanggaran garis panduan penglibatan murid di dalam media sosial (Fadhlina,2023). Walhal bagi seorang pendidik, ilmu yang dicurahkan biarlah sampai ke hati murid dan bukan sekadar untuk memenuhi tanggngjawab mengajar atau untuk melepaskan tugas sahaja. Lagi baik jika ilmu yang disampaikan disertakan dengan amalan baik yang dapat dipraktikkan oleh murid sebagai teladan. Kerana apa gunanya ilmu tanpa amal. Konklusinya, guru haruslah menguasai kandungan pengajaran terlebih dahulu sebelum menyampaikannya terhadap murid. Seperti telusuri kehidupan Rasulullah dan teladani akhlak Baginda agar murid dapat merefleksikan pengajaran dan perbuatan dengan baik kerana dari telaga yang jernih, tak akan mengalir air yang keruh. Turut berbangkit daripada isu ini mengenai peranan kerajaan dan melaluinya dapat kita lihat berbagai kerjasama yang terbina seperti apabila mengadakan kempen anti-dadah yang bergabung dengan Agensi Dadah Kebangsaan mahupun Yayasan Pencegah Jenayah Negeri untuk menimbulkan kesedaran kepada remaja. Namun apabila kurangnya campur tangan kerajaan boleh menyebabkan kesedaran kepada remaja itu kurang. Kerana nasihat dari ibu bapa atau guru kadang tidak memberikan kesan dan kesedaran lebih dapat dicakna apabila adanya tindakan. Konklusinya, dalam meneliti akhlak remaja kini, penting bagi kita memahami bahawa keadaan ini tidaklah terpisah dari lingkungan sekitar mereka yang memiki peranan penting dalam membentuk keperibadian mereka iaitu dapat dilihat bahawa punca keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja boleh terjadi daripada pelbagai aspek iaitu daripada ibu bapa yang bersifat materialistik, kekurangan ajaran agama, pengaruh rakan sebaya, faktor pihak sekolah antaranya daripada guru dan kerajaan. Harapan agar dilema yang kita hadapi pada hari ini apabila remaja yang akan menjadi pemimpin kelak tidak bermoral dan tidak menghayati kehidupan mereka sebagai penerus bangsa yang cemerlang dapat dibendung. Namun, alangkah baiknya jika kita tidak saling menyalahkan tetapi saling bekerjasama dalam tanggungjawab yang sama untuk membentuk moral dan etika remaja yang positif dan baik, bak kata pepatah “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.
NUR JANNATUL SOLIHAH BINTI ZAMZURI
UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA
Jannah adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.

