
Akibat Perubahan Iklim & Cuaca Ekstream, 907 Orang Maut Disambar Petir Di India
India merekodkan 907 kematian akibat dipanah petir bagi tempoh sepanjang 2022, lapor Gulf News.
Menurut portal tersebut, fenomena-fenomena cuaca ekstream seperti gelombang haba dan kejadian kilat dilapor semakin kerap berlaku di negara tersebut tahun ini dan jumlah korban akibat bencana alam meningkat dalam tempoh tiga tahun kebelakangan, berdasarkan data yang ditunjukkan oleh pihak kerajaan pada Rabu lepas.
Para saintis mengatakan bahawa peningkatan jumlah kematian ini berpunca daripada perubahan iklim yang berlaku bukan sahaja di India, tetapi di seluruh dunia.
Tahun ini, India mencatatkan peningkatan kadar kekerapan cuaca ekstrem sebanyak lapan kali ganda iaitu 27 fenomena gelombang haba dan sambaran kilat yang berlaku lebih daripada 111 kali. Manakala, kejadian ribut petir juga meningkat lima kali ganda dengan 240 kejadian dilaporkan.
Setakat bulan lepas, sebanyak 2,183 orang dilaporkan terkorban akibat menjadi mangsa pelbagai fenomena alam dengan 78 peratus yang terkorban disebabkan menjadi mangsa panahan petir dan juga banjir.

Suhu ketika musim monsun di India jua dilapor meningkat pada abad ini dan seluruh negara tersebut bakal menyaksikan fenomena gelombang haba dengan lebih kerap pada masa yang akan datang, berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan India pada Ogos lepas.
Keadaan ini diburukkan lagi selepas mengambil kira India adalah negara ketiga paling banyak melepaskan karbon dioksida di dunia, walaupun pelepasan per kapitanya jauh lebih rendah daripada banyak negara maju yang lain.
Terdahulu, media melaporkan negara dengan populasi 1.4 bilion penduduk itu terpaksa menghadapi bulan Mac yang paling panas, dalam tempoh lebih seabad, selain berdepan suhu tinggi luar biasa sekitar April dan Mei.
Manakala jirannya, Pakistan berdepan kesan cuaca ekstrem apabila dilanda kejadian banjir teruk pada tahun ini yang dtelah menenggelamkan satu pertiga daripada negara tersebut.
Bencana alam tersebut juga turut membunuh lebih daripada 1,500 orang serta memberikan kesan kepada jutaan penduduk di sana.
Perubahan iklim beri kesan mendadak kepada dunia
Pertubuhan Kesihatan Dunia sebelum ini berkata, lebih daripada 166,000 orang meninggal dunia disebabkan gelombang haba di seluruh dunia dalam tempoh 1998-2017.
Badan dunia itu juga meramalkan bagi tempoh 2030-2050, perubahan cuaca akan menjadi penyebab kepada lebih 250,000 kematian di seluruh dunia akibat masalah kebuluran, malaria, diarrhoea dan stress haba.
Sumber: Gulf News
The post Akibat Perubahan Iklim & Cuaca Ekstrem, 907 Orang Maut Disambar Petir Di India appeared first on Siakap Keli.



