AKM Kedah: ‘Khemah Sihat’ hilangkan rasa takut untuk jalani pemeriksaan kesihatan

4 Sep 2022 • 4:24 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

ALOR SETAR: Sebut sahaja mengenai pemeriksaan kesihatan mesti ramai yang takut dan bimbang untuk melakukannya sama ada di klinik kesihatan atau hospital.

Bagaimanapun, ‘Khemah Sihat’ yang dibuka sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Kedah di pekarangan Stadium Darul Aman di sini sedikit sebanyak dapat menghilangkan perasaan gugup pengunjung untuk mendapatkan maklumat kesihatan dan mengikuti aktiviti yang disediakan.

Pegawai Pendidikan Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah Nurul Wahida Osman berkata sebanyak 10 reruai yang menyediakan pelbagai aktiviti menarik ditempatkan di Khemah Sihat sejak AKM bermula Jumaat lepas.

Beliau berkata sepanjang dua hari, lebih 10,000 pengunjung singgah di khemah ini untuk menjalani saringan kesihatan termasuk memeriksa tekanan darah dan paras gula, saringan minda sihat dan saringan karbon monoksida bagi perokok.

“Antara aktiviti yang mendapat sambutan ialah Cabaran 1,000 Langkah yang mana pengunjung yang mencatat 1,000 langkah akan menerima hadiah. Sebab 1,000 langkah dipilih adalah kerana kita mahu masyarakat mula mengamalkan gaya hidup aktif,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata lebih 50 pengunjung menyertai program menderma darah di unit bergerak yang disediakan sekali gus dapat membantu menambah jumlah bekalan darah yang semakin berkurangan di negeri ini.

“Bekalan darah di Kedah tidak mencukupi, jadi ini pastinya membantu menambah bekalan darah di hospital bagi keperluan pesakit. Selain itu, pengunjung juga boleh melakukan pemeriksaan kesihatan gigi bagi mengetahui tahap kesihatan dan kebersihan gigi mereka,” katanya.

Bagi Rosbi Abdul Majid, 52, dari Sungai Petani, kali terakhir dia membuat pemeriksaan kesihatan adalah empat tahun lalu dan disebabkan perasaan takut beliau tidak lagi melakukannya.

“Program macam ini sebenarnya bagus kerana dapat menarik orang ramai untuk datang membuat pemeriksaan, tambahan pula ia percuma. Saya datang untuk periksa tekanan darah dan paras gula dan buat masa ini kesihatan saya baik sahaja,“

Seorang lagi pengunjung, Rashidi Ismail, 70, berkata dia mengambil kesempatan melakukan pemeriksaan kesihatan kerana mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis.

“Orang ramai jangan takut untuk buat pemeriksaan kesihatan kerana sebenarnya ia bagus supaya kita boleh tahu apa masalah kesihatan yang kita hidapi sekali gus dapat ubatinya dengan cepat,“ katanya.

Jelajah AKM Negeri Kedah selama tiga hari yang bermula Jumaat lalu berakhir hari ini dan ia adalah edisi kesembilan selepas Johor, Perlis, Sabah, Terengganu, Perak, Kelantan, Sarawak dan Selangor. - Bernama