Akmal mohon maaf isu lantikan politik bawah Mohamad Sabu

Politics
14 May 2023 • 2:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dr Muhamad Akmal

KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh memohon maaf secara terbuka atas kritikannya berhubung keputusan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu melantik lima pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) bagi menerajui agensi di bawah kementerian berkenaan baru-baru ini.

“Sebab itu hari ini saya berdiri atas pentas Kerajaan Perpaduan. Saya faham hari itu saya bangkang isu pelantikan badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), untuk sahabat-sahabat Amanah, saya berbesar hati mohon maaf.

“Saya hendak beritahu, tugas kita adalah untuk bangunkan negara dengan politik lebih baik, dengan pendekatan jauh lebih baik.

"Jadi kita tiada masalah kalau ada perbezaan, tapi mesti diuruskan dengan cara lebih baik,” katanya semasa Konvensyen Pemuda Perpaduan 2023 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Ahad.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Dr Muhamad Akmal meminta supaya lantikan lima pengerusi baharu badan berkanun di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang kesemuanya ahli politik perlu diteliti semula.

Jelas beliau, ini berdasarkan prinsip Kerajaan Perpaduan yang mahu melakukan reformasi terhadap amalan lantikan politik dalam badan berkanun dan GLC.

Dr Muhamad Akmal meminta kesemua lantikan itu ditarik balik kerana menurutnya, walaupun ia adalah hak prerogatif menteri, tetapi perlu melihat prinsip kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu beliau berkata, parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan perlulah saling hormat-menghormati, saling memahami antara satu sama lain.

“Dan paling penting adalah kita mesti percaya antara satu sama lain,” ujarnya.