Akmal Saleh cadang gaji MP, Adun dari kerajaan & pembangkang dipotong

LocalPolitics
28 Mar 2026 • 4:54 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa agar kerajaan meneliti semula cadangan membantu golongan terkesan susulan penyelarasan subsidi, dengan suara rakyat khususnya berpendapatan rendah perlu diberi perhatian serius.

Solidariti terhadap kesusahan rakyat

Menerusi kenyataan yang dibuat di Facebook, beliau menyatakan jika pandangan rakyat terus diketepikan, beliau mencadangkan agar gaji Ahli Parlimen dan ADUN dipotong sebagai tanda solidariti terhadap kesusahan yang dihadapi rakyat.

“Langkah itu sekurang-kurangnya dapat memberikan gambaran sebenar kepada wakil rakyat mengenai tekanan hidup sedang ditanggung oleh rakyat ketika ini,” katanya.

image is not available

Rakyat dah berjimat sejak awal

Menurutnya, terdapat jurang ketara antara data rasmi dan realiti sebenar di peringkat akar umbi, apabila kesan penyelarasan subsidi mungkin dilihat kecil bagi sesetengah pihak tetapi memberi impak besar kepada rakyat yang bergelut memenuhi keperluan asas.

“Seruan agar rakyat mengamalkan langkah berjimat cermat juga dilihat kurang tepat kerana ramai dalam kalangan mereka sudah lama mengamalkan gaya hidup berhemat sebelum ini,” katanya.

Beliau menegaskan rakyat sememangnya sudah berjimat sejak awal, namun beban semakin terasa selepas subsidi diselaraskan.

“Sehubungan itu, saya berharap kerajaan dapat mengambil pendekatan lebih menyeluruh dan berperikemanusiaan dalam merangka dasar, khususnya yang membabitkan kebajikan rakyat,” katanya.

image is not available

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata majoriti rakyat tidak terkesan dengan penyelarasan sementara kuota Budi Madani RON95 (BUDI95).

Beliau memaklumkan data menunjukkan hampir 90 peratus rakyat menggunakan sekitar 100 liter petrol sebulan, sekali gus tidak menjejaskan kos kehidupan harian majoriti pengguna.

image is not available

Kerajaan sebelum ini turut menyelaraskan kelayakan penggunaan BUDI95 daripada 300 kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April ini, sebagai langkah bersasar susulan ketidaktentuan pasaran minyak global.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata penyelarasan itu tidak menjejaskan sebahagian besar rakyat kerana majoriti menggunakan kurang daripada 200 liter petrol sebulan.

Sumber: Facebook Akmal Saleh