Akmal Saleh persoal keutamaan kerajaan, kebajikan penghuni rumah awam, PPR

LocalPolitics
16 Nov 2026 • 5:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Akmal Saleh persoal keutamaan kerajaan, kebajikan penghuni rumah awam, PPR
Muhamad Akmal

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mempersoalkan keutamaan kerajaan memberikan pengurangan premium tanah kepada Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) berbanding menjaga kebajikan penghuni perumahan awam dan Program Perumahan Rakyat (PPR) yang berdepan tindakan pengosongan rumah.

Beliau berkata, pengurangan premium tanah daripada RM4.67 juta kepada RM1,000 atas alasan memelihara bangunan warisan perlu dilihat seiring dengan keperluan membantu golongan berpendapatan rendah yang menetap di perumahan berkenaan.

"Nak jaga warisan boleh bagi diskaun premium tanah berjuta ringgit, pada masa yang sama, rakyat tak bayar sewa PPR kena ambil tindakan.

"Mana satu yang lebih utama? Jaga warisan atau kebajikan rakyat? Menteri tolong jawab," katanya menerusi hantaran video di media sosial pada Isnin.

DBKL sebelum ini mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 602 unit Perumahan Awam dan PPR di ibu negara atas pelbagai pelanggaran syarat serta peraturan, dari Januari hingga akhir September lalu.

Daripada jumlah itu, 323 unit berjaya dikosongkan dengan 193 unit sudah ditawarkan kepada pemohon, manakala baki 130 unit masih dalam proses penawaran kepada 234 pemohon secara berperingkat.

Dr Muhamad Akmal juga mempersoalkan sama ada jumlah tunggakan sewa penghuni terbabit melebihi nilai premium tanah asal KLSCAH yang berjumlah RM4.67 juta.

"Saya nak tanya kepada menteri. Tunggakan sewa mereka ini tinggi macam mana? Tinggi lebih daripada RM4.67 juta jugakah? Ini soal kebajikan mereka. Kalau menteri kata tak apalah biar kosongkanlah rumah itu sebab mereka tak bayar sewa.

"Tapi menteri, saya nak beritahu RM4.6 juta yang menteri bagi pengurangan itu lebih eloklah bagi pengurangan ataupun menteri bagilah sewa percuma kepada semua orang yang duduk dalam perumahan awam dan juga PPR dalam Kuala Lumpur ini.

"Sekurang-kurangnya mereka dapat sebulan, dua bulan ataupun tiga bulan perumahan percuma lebih elok. Sebab apa? ini soal kebajikan mereka," katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh memaklumkan KLSCAH telah diwartakan sebagai bangunan warisan pada awal 2007.

Menurutnya, perubahan status itu menyebabkan nilai tanah tidak lagi dinilai sebagai tanah komersial kerana hanya boleh digunakan bagi tujuan institusi dan mengekalkan fungsi bangunan warisan tersebut.

Katanya, KLSCAH yang mempunyai baki tempoh pajakan selama lapan tahun mengemukakan rayuan bagi mendapatkan pengurangan premium memandangkan bangunan itu berstatus warisan dan beroperasi sebagai organisasi bukan berasaskan keuntungan.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved