Pada waktu ini pasti ramai sudah maklum bahawa Huawei Mate 30 Pro dan Mate 30 tidak hadir dengan perkhidmatan Google Mobile Services (GMS) walaupun ia menggunakan sistem operasi Android 10. Peranti yang dijual di Malaysia sama seperti yang dijual di China. Mereka yang ingin membeli kedua-dua peranti perlu memuat turun aplikasi menerusi Huawei App Gallery sahaja sekiranya proses pemasangan GMS tidak dilakukan.

Pembangun aplikasi yang berjaya diterbitkan sebelum 31 Oktober ini akan menerima ganjaran RM500,000. Ia kemudian berkurangan ke RM300,000 sebelum 30 November dan RM100,000 sebelum 31 Disember 2019. Menurut Huawei App Gallery memberikan aplikasi akses kepada lebih daripada 500 juta pengguna di 170 negara. Proses meluluskan aplikasi pula boleh dilakukan dalam masa tiga hari.
Dengan Huawei mempunyai kebarangkalian yang kecil akan menerima lanjutan lesen perdagangan sementara dengan syarikat A.S, ini adalah cara mereka untuk memastikan aplikasi yang ditawarkan di App Gallery akan setanding dengan yang ditawarkan oleh Play Store. Ganjaran yang ditawarkan kepada pembangun di Malaysia hari ini adalah sebahagian daripada dana $1 bilion (~RM 4.12 bilion) untuk pembangunan aplikasi yang diumumkan Huawei ketika pelancaran global Mate 30.

