AKPS rampas 6,280 kg tepung

12 May 2026 • 4:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: AKPS rampas 6,280 kg tepung
Lori kontena yang membawa muatan diperiksa semasa melalui ICQS Bukit Kayu Hitam. Foto AKPS

BUKIT KAYU HITAM - Sebanyak 314 beg mengandungi 6,280 kilogram tepung dengan anggaran nilai RM50,240 dirampas Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di sini kerana dikesan sebagai barangan dagangan tidak diikrar.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Fauzi Mohd Yusof berkata, beg berkenaan dikesan semasa pemeriksaan dijalankan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).

Menurutnya, hasil pemeriksaan, pihaknya berjaya menahan sebuah lori bernombor pendaftaran Thailand yang disyaki membawa dagangan terbabit semasa melalui Bay Pemeriksaan Import, Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam pada jam 3.50 petang.

"Pemeriksaan lanjut dijalankan oleh sepasukan pegawai AKPS selepas imej imbasan mesin X-ray menunjukkan terdapat ketidakselarasan pada muatan lori berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat sejumlah barangan dagangan dipercayai tidak diikrar dan disembunyikan di sebalik barang yang telah diikrarkan dalam dokumen kastam bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa," katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 133(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana membuat pengikraran tidak benar berkaitan dagangan yang dibawa masuk ke negara ini.

Menurutnya Fauzi, AKPS akan terus memperketatkan kawalan di pintu masuk negara bagi memastikan setiap dagangan yang dibawa masuk mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan.

Jelasnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mengelak cukai atau membuat pengikraran palsu.