PELABUHAN KLANG - Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menahan 45 kontena berisi sisa elektronik (e-waste) dan bahan buangan terjadual yang masuk di Pelabuhan Barat di sini sejak September 2024 hingga Mac tahun lalu.
Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pemeriksaan ke atas kesemua kontena terbabit diketuai beliau kira-kira jam 10 pagi pada Selasa.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati 22 kontena berisi e-waste seberat 454,895 kilogram (kg), manakala 18 kontena berisi bahan buangan terjadual kategori SW 102,103 dan 422 seberat 413,110 kg.
"Kesemua kontena masuk ke dalam negara pada September 2024 hingga Mac 2025.
"Kemasukan bahan buangan terjadual adalah dilarang sama sekali menurut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
"Kontena-kontena e-waste akan ditempatkan di kawasan selamat sementara menunggu notis dari JAS Selangor dan JAS pusat bagi tujuan re-export," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, pemeriksaan ini turut disertai oleh SIRIM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Pelabuhan Klang dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.
Jelas beliau, AKPS akan meneruskan pemeriksaan ke atas kontena dagangan yang disyaki membawa sisa-sisa yang terlarang.
"AKPS akan terus memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan kedaulatan sempadan dan kepentingan negara sentiasa terpelihara," ujarnya.

