
Aksesori Kanak-Kanak Dicemari Logam Toksik Tinggi Didakwa Dijual Di AliExpress, Shein
Syarikat gergasi e-dagang China, AliExpress dan Shein didapati menjual aksekori kanak-kanak yang dicemari dengan tahap logam toksik melebihi paras yang dibenarkan.
Ini berdasarkan ujian keselamatan kimia yang dijalankan oleh Korea Conformity Laboratories terhadap tujuh produk kanak-kanak yang dijual melalui platform AliExpress dan Shein.
Daripada tujuh aksesori tersebut, dua daripadanya iaitu jam tangan kanak-kanak dari Shein dan rantai leher kanak-kanak dari AliExpress, didapati mengandungi bahan kimia berbahaya.
Dilaporkan, jam tangan tersebut mengandungi paras plumbum 278 kali melebihi had yang dibenarkan. Manakala, bahagian belakangnya mempunyai paras kromium 3.4 kali dan paras nikel 4.4 kali lebih tinggi daripada paras yang dibenarkan.
Sementara itu, loket rantai pula mengandungi paras plumbum 1.2 kali lebih tinggi daripada piawaian yang dibenarkan.
Difahamkan, tahap plumbum yang tinggi berpotensi untuk mengganggu sistem pembiakan dan meningkatkan risiko kanser.
Kromium pula berkait rapat dengan ketoksikan dermatologi dan kerengsaan pernafasan, manakala nikel dikaitkan dengan alahan dan penyakit kardiovaskular dan isu kesihatan yang lain.
Pada masa ini, pihak berkuasa tempatan sedang menjalankan rangkaian ujian keselamatan terhadap produk yang dijual di platform e-dagang utama China seperti AliExpress, Temu dan Shein.
Keputusan daripada ujian-ujian terkini itu akan disampaikan kepada platform-platform tersebut untuk mengambil tindakan sewajarnya, lapor Sinar Harian.
Sumber: Sinar Harian
The post Aksesori Kanak-Kanak Dicemari Logam Toksik Tinggi Didakwa Dijual Di AliExpress, Shein appeared first on Siakap Keli.
