Aksi dodoi anak buaya curi perhatian ramai

19 Nov 2026 • 10:25 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Aksi dodoi anak buaya curi perhatian ramai

Digeruni sebagai pemangsa ganas, siapa sangka sang bedal mampu menjadi sejinak merpati sehingga dapat lena dalam dakapan penjaganya, tidak ubah seperti bayi.

Klip video memaparkan gelagat Ali dan Acong iaitu dua ekor anak buaya berusia dua tahun lima bulan tertidur selepas dibelai dan didodoi telah menarik perhatian warga maya di media sosial baru-baru ini.

Menurut Pengurus Zoologi 99 Wonderland Park (Wildlife In The City), Mohd. Rizal Manoor, dua ekor anak buaya itu juga merupakan ‘anak sulung’ Goldie dan pasangannya, Lipis yang menetas secara semula jadi di taman berkenaan.

“Goldie baru belajar bertelur, jadi belum pandai menyusun telur untuk pastikan semua terdedah kepada suhu yang sesuai. Daripada kira-kira 30 biji telur yang dihasilkan, cuma dua berjaya menetas,” katanya ketika ditemu bual di taman hidupan liar bandar dan rekreasi terletak di Selayang, Selangor itu.

Mohd. Rizal yang berpengalaman 18 tahun mengendalikan pelbagai jenis reptilia berkata, kedua-dua anak buaya itu telah dibiasakan dengan kehadiran manusia termasuk mendengar panggilan nama masing-masing, selain dilatih secara berperingkat bagi membolehkan penjaga memahami tingkah laku haiwan terbabit.

“Kalau saya masuk dalam kandang, saya akan panggil Ali dan Acong.

“Saya biasakan mereka mendengar nama masing-masing kerana buaya pun boleh mendengar.

“Dalam masa sama, saya cuba buat perkara lain seperti mendodoikan mereka dan menyuruh mengeluarkan bunyi,” katanya.

Image from: Aksi dodoi anak buaya curi perhatian ramai
Dua ekor anak buaya itu juga merupakan ‘anak sulung’ Goldie dan pasangannya, Lipis.- BERNAMA

Menurut Mohd. Rizal, kedua-dua anak buaya itu mempunyai sifat berbeza, dengan Ali lebih tenang dan mudah dikendalikan berbanding Acong yang agak agresif, terutamanya apabila berada dalam keadaan tidak selesa.

“Masing-masing dapat dibezakan melalui corak bintik hitam pada bahagian tengkuk, di mana Ali mempunyai empat bintik besar, manakala Acong memiliki dua bintik besar dan dua bintik kecil. Ali juga lebih gemar berjemur, sementara Acong suka berendam,” katanya.

Tentang rutin penjagaan, Mohd. Rizal berkata, kedua-dua anak buaya itu diberi makan dua kali seminggu, sementara buaya dewasa pula sekali seminggu kerana reptilia karnivor tersebut mempunyai sistem pencernaan yang perlahan.

“Ketika kecil, saya beri mereka makan udang, cengkerik, ikan dan potongan ayam. Sekarang mereka sudah boleh makan anak ayam. Pada mulanya, saya suapkan makanan, tetapi apabila semakin besar, saya biarkan mereka mencari makanan sendiri,” katanya.

Di sebalik pengalaman luas dalam mengendalikan haiwan pemangsa itu, Mohd. Rizal juga tidak terkecuali daripada mengalami kecederaan akibat digigit.

“Saya gunakan pengalaman saya menguruskan pelbagai reptilia untuk mendidik pengunjung tentang tingkah laku haiwan berkenaan serta langkah keselamatan yang perlu dipatuhi melalui demonstrasi.

“Apabila kita hanya bercakap, orang mungkin tidak faham. Tetapi apabila mereka melihat haiwan itu di depan mata, barulah mereka dapat memahami perangainya,” katanya.

Mohd. Rizal yang pernah berkhidmat di Taman Buaya Melaka serta Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka turut bertanggungjawab mengurus serta menyelia pelbagai jenis haiwan lain, termasuk ular berbisa, lemur, kapibara, rakun serta burung unta di taman seluas sembilan hektar itu.

“Kalau nak kerja dengan haiwan, kena ada sifat berani dan minat yang betul-betul mendalam. Kalau tiada minat yang kuat, memang susah untuk bertahan dalam bidang ini,” katanya.- BERNAMA

The post Aksi dodoi anak buaya curi perhatian ramai appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved