Akta Antibuli 2026 bimbing pelaku, pulihkan mangsa

LocalPolitics
23 Sep 2026 • 1:14 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Akta Antibuli 2026 bimbing pelaku, pulihkan mangsa

KUALA LUMPUR – Akta Antibuli 2026 (Akta 876) yang berkuat kuasa sejak 1 Mac 2026 bukan semata-mata menghukum, tetapi lebih penting mahu memulihkan mangsa, membimbing pelaku dan memastikan setiap aduan ditangani dengan cepat dan berkesan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, selain akta berkenaan, Tribunal Bagi Antibuli (TAB) turut ditubuhkan menerusi Akta 876.

“Setakat ini, saya difahamkan tiada lagi aduan buli diterima oleh Tribunal Anti Buli melibatkan pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD). Untuk itu, saya mahu rekod ini dikekalkan.

“Harus diingat kekuatan sebenar bukan apabila kita mampu menakutkan orang lain. Kekuatan sebenar ialah apabila kita berani melindungi mereka yang lebih lemah,” katanya ketika berucap pada Program Literasi Akta Antibuli 2026 (Akta 876) dan Peranan TAB di MTD di Sungai Besi, di sini hari ini.

Azalina berkata, sungguhpun matlamat kerajaan hari ini adalah untuk membanteras kes buli secara habis-habisan, namun angka sifar tersebut mesti benar-benar bermaksud tiada buli, bukan kerana mangsa takut untuk bersuara dan tidak melaporkannya.

“Jangan pernah anggap buli sebagai sebahagian daripada proses untuk menjadi kuat. Buli bukan tradisi, buli bukan disiplin dan jauh sekali, buli bukan simbol kepimpinan.

“Kalau nampak kawan dibuli, jangan diam, kalau tahu seseorang sedang menderita, jangan berpaling dan kalau anda sendiri menjadi mangsa, jangan takut untuk bersuara dan membuat aduan,” katanya.

Beliau berkata, keberanian bukan sekadar berani menghadapi musuh, tetapi bermaksud berani mempertahankan orang lain apabila mereka tidak mampu mempertahankan diri sendiri.

“Justeru, saya mahu MTD menjadi contoh kepada negara bahawa sebuah institusi yang terkenal dengan disiplin dan ketegasan juga boleh menjadi institusi yang terkenal dengan kemanusiaan, hormat dan integriti,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Akta Antibuli 2026 bimbing pelaku, pulihkan mangsa appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved