Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) akan dikuatkuasakan bermula 1 Oktober 2024.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan di Facebook, akta tersebut turut dikuatkuasakan pada rokok elektronik.
“Akta ini merangkumi peraturan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan, dan larangan merokok di tempat awam.
“Peraturan dan perintah yang bakal dikuatkuasakan termasuk rokok elektronik,” katanya.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah KKM mewartakan Akta 852 bermula 2 Februari lalu adalah sejajar usaha untuk mengekang penggunaan produk tembakau. Selain itu, ia dapat mengurangkan kemudaratan akibat merokok dan penggunaan lain-lain produk tembakau termasuk rokok elektronik atau vape.
Akta 852 yang diwartakan pada Februari lalu sehingga kini masih belum dikuatkuasakan walaupun pada mulanya diumumkan akan dilaksanakan pada Jun dan kemudiannya ditangguhkan pada Ogos lalu.
Menerusi satu laporan Berita Harian, KKM sebelum ini dikritik kerana tanpa penguatkuasaan Akta 852, peraturan untuk mengharamkan penjualan vape kepada kanak-kanak tidak dapat dikuatkuasakan.
The post ‘Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) kuatkuasa 1 Oktober ini’ -KKM appeared first on The Reporter.



