
KUALA LUMPUR — Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini mengesahkan di bawah Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872), status perlindungan keselamatan sosial pekerja gig akan aktif secara automatik sebaik menerima tugasan pertama selepas mendaftar dengan penyedia platform.
Menerusi mekanisme 'pascabayar' yang diperkenalkan, perlindungan keselamatan sosial bagi pekerja gig kini akan diaktifkan secara automatik sebaik sahaja mereka mendaftar dengan penyedia platform dan menerima tugasan pertama mereka.
Langkah progresif ini memperuntukkan tempoh perlindungan selama setahun kepada pekerja terbabit sebaik sahaja dua prasyarat awal berkenaan dipenuhi.Pendekatan hibrid ini, yang diperincikan semasa sesi pembentangan RUU Akta 872 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat baru-baru ini, digubal khusus bagi meredakan kebimbangan golongan pekerja yang menjana pendapatan secara separuh masa atau sambilan.
“Selepas memenuhi dua prasyarat awal, status perlindungan Perkeso masih aktif, walaupun pekerja gig tidak menerima tempahan selama beberapa hari atau belum sempat mencukupkan bayaran caruman minimum, iaitu RM13.10 sebulan.
“Perkeso kekal komited untuk memudah cara dan menangani sebarang kerenah birokrasi terhadap penguatkuasaan Akta 872, demi memastikan hak pekerja gig kekal terbela khususnya dalam mendapat perlindungan keselamatan sosial,” jelas Perkeso dalam satu kenyataan hari ini.
Penjelasan tuntas daripada Perkeso ini hadir bagi mengulas laporan media mengenai kebimbangan yang dibangkitkan oleh Persatuan Rakan Penghantar Melaka (RPM) sebelum ini, terutamanya berhubung aspek jaminan serta status perlindungan mereka menerusi skim LINDUNG Kendiri.
Bagi memastikan tiada lompang dalam pelaksanaan, Perkeso menjelaskan bahawa Seksyen 83(e) Akta 872 telah memperuntukkan kewajipan undang-undang kepada penyedia platform untuk memaklumkan kepada pekerja gig supaya membayar baki caruman bulanan minimum mereka.
Peruntukan tegas itu terpakai sekiranya jumlah caruman yang dipotong oleh pihak platform didapati tidak mencapai kadar minimum caruman bulanan yang ditetapkan, bersandarkan kepada pendapatan bulanan yang diinsuranskan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.
Bagi mengelakkan kekeliruan, pekerja gig dinasihatkan untuk memanfaatkan teknologi sedia ada dengan menyemak jumlah caruman terkumpul serta status perlindungan aktif mereka secara masa nyata (real-time) menerusi aplikasi Prihatin. - 19 Mei, 2026
The post Akta Pekerja Gig 2025: Perlindungan Perkeso aktif serta-merta sebaik terima tugasan pertama appeared first on Scoop.


