EKONOMI gig di Malaysia tidak lagi boleh dianggap sebagai sektor sampingan.
Bagi kira-kira 1.12 juta pemandu e-hailing, penghantar makanan dan pekerja platform lain, kerja gig telah menjadi sumber pendapatan utama, penampan ketika pasaran kerja formal lemah, dan strategi kelangsungan hidup dalam suasana kos sara hidup yang semakin meningkat.
Justeru, penggubalan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) ialah satu langkah penting dan bersejarah kerana buat pertama kali Malaysia mewujudkan undang-undang khusus untuk pekerja gig.
Akta ini penting kerana ia mengiktiraf bahawa kerja gig ialah bentuk hubungan kerja yang berbeza daripada model majikan-pekerja tradisional. Pekerja gig tidak lagi dibiarkan berada dalam “zon kelabu” dari segi perlindungan undang-undang.
Akta 872 memperuntukkan hak asas seperti keperluan perjanjian perkhidmatan yang lebih jelas, hak dimaklumkan kadar pendapatan, hak dibayar dalam tempoh dipersetujui, hak dirundingi jika terma berubah, hak tidak ditamatkan tanpa alasan munasabah, serta akses kepada mekanisme penyelesaian pertikaian.
Dari sudut dasar, ini membina satu lantai perlindungan minimum yang sebelum ini tidak wujud secara khusus.
Mengiktiraf realiti ekonomi platform
Salah satu kekuatan besar Akta 872 ialah ia mula menyesuaikan undang-undang dengan realiti sebenar ekonomi platform. Dalam sektor ini, kawalan buruh tidak semestinya datang daripada penyelia manusia, tetapi daripada sistem berautomat dan algoritma.
Akta ini mewajibkan pekerja gig dimaklumkan tentang sistem pemantauan dan keputusan berautomat yang mempengaruhi penugasan kerja dan suasana kerja, serta menyediakan ruang untuk semakan tidak berautomat.
Ini satu perkembangan yang amat relevan kerana dalam ekonomi platform, algoritma menentukan siapa mendapat tempahan, siapa dikenakan penalti, siapa digantung akaun, dan akhirnya siapa memperoleh pendapatan.
Namun, di sinilah cabaran sebenar bermula. Pengiktirafan undang-undang semata-mata tidak memadai jika hak itu sukar dikuatkuasakan.
Risiko terbesar ialah Akta 872 hanya berjaya “memformalkan” status pekerja gig sebagai kategori undang-undang baharu, tetapi masih gagal menangani ketidakseimbangan kuasa antara platform dan pekerja.
Isu pendapatan minimum yang bermaruah
Isu paling mendesak ialah pendapatan minimum yang bermaruah. Walaupun Akta 872 menubuhkan Majlis Perundingan untuk menasihati kerajaan tentang kadar pendapatan minimum, akta ini belum menjamin lantai pendapatan yang berkuat kuasa segera.
Ini mewujudkan jurang masa yang berlarutan. Dalam tempoh menunggu itu, platform masih boleh mengekalkan struktur tambang rendah sedangkan pekerja terus menanggung kos bahan api, penyelenggaraan dan masa bekerja yang panjang.
Jika kerajaan serius mahu melindungi pekerja gig, perlu ada garis masa yang mengikat untuk mengeluarkan perintah kadar pendapatan minimum yang dilengkapi dengan alasan rasmi jika syor itu ditolak atau dipinda.
Selain itu, pendekatan perlindungan juga perlu beralih daripada logik “prestasi” kepada logik “kerja”. Dalam amalan semasa, wujud situasi di mana insurans atau perlindungan tertentu yang ditawarkan oleh platform bergantung kepada metrik prestasi seperti jumlah tempahan atau kadar pembatalan.
Ini sangat bermasalah kerana perlindungan asas tidak sepatutnya menjadi ganjaran kepada pekerja yang cemerlang semata-mata.
Sebaliknya, perlindungan minimum mesti diberikan kepada semua pekerja yang aktif bekerja. Prinsip yang lebih adil ialah perlindungan berasaskan kerja, bukan perlindungan berasaskan prestasi.
Ketelusan algoritma perlu diperkukuh
Satu lagi kelemahan utama ialah soal ketelusan algoritma. Akta 872 sudah berada di landasan yang betul dengan mewajibkan makluman tentang sistem berautomat.
Tetapi makluman sahaja tidak cukup. Pekerja perlu tahu mengapa tempahan mereka dibatalkan secara automatik, mengapa status mereka menurun, mengapa akaun mereka digantung, dan apakah bukti yang digunakan oleh sistem.
Ini bermakna ketelusan mesti dinaikkan daripada sekadar pemakluman kepada kebolehauditan. Platform perlu diwajibkan memberi penjelasan bertulis yang jelas, menyediakan akses kepada data individu yang relevan, dan membuka ruang audit bebas terhadap sistem yang berisiko menindas pekerja.
Peruntukan berkaitan penyahaktifan akaun juga perlu diperkukuh. Akta ini sememangnya memperuntukkan notis, had masa siasatan dan pampasan tertentu jika penggantungan itu tidak berasas. Ia satu kemajuan yang besar. Tetapi dalam realiti kerja gig, penggantungan akaun bermaksud pendapatan boleh menjadi sifar serta-merta.
Oleh itu, pampasan separuh purata pendapatan harian mungkin masih tidak mencukupi, khususnya bagi pekerja yang mempunyai sewa rumah, pinjaman kenderaan dan kos operasi harian. Pampasan perlu lebih realistik, dan bagi kes tertentu, pekerja wajar diberikan bantuan pendapatan tambahan sementara menunggu pertikaian diselesaikan.
Tribunal pekerja gig mesti berfungsi dengan cepat
Di samping itu, kejayaan Akta 872 sangat bergantung pada keupayaan Tribunal Pekerja Gig. Jika tribunal lambat, kekurangan kakitangan atau sukar diakses, hak pekerja akan kekal simbolik.
Dalam ekonomi gig, masa ialah pendapatan. Kelewatan menyelesaikan kes bermaksud kelewatan mendapatkan semula sumber pendapatan.
Maka, tribunal perlu didigitalkan, mempunyai KPI masa penyelesaian yang jelas, dan disokong dengan klinik nasihat undang-undang supaya pekerja benar-benar mampu menuntut hak mereka.
Secara keseluruhannya, Akta 872 ialah asas yang sangat penting kepada perlindungan pekerja gig di Malaysia. Namun asas sahaja tidak mencukupi. Malaysia kini perlu bergerak daripada “lantai hak” kepada “hak yang boleh dikuatkuasakan”.
Ini menuntut pelaksanaan yang tegas, ketelusan algoritma yang boleh diaudit, perlindungan berasaskan kerja, kadar pendapatan minimum yang bermaruah, dan institusi pertikaian yang pantas serta berkesan.
Jika pembaharuan ini berjaya, ekonomi gig boleh menjadi sebahagian daripada strategi pembangunan inklusif negara. Jika gagal, kita berisiko mewujudkan kelompok pekerja bandar yang terus bekerja keras tetapi kekal terperangkap dalam pendapatan rendah dan kerentanan sosial.
*Dr Zaharul Abdullah merupakan Pensyarah Kanan Institut Asia-Eropah Universiti Malaya

