Aktivis mahu angkat muzik etnik Rungus ke arus perdana

Music
29 Aug 2023 • 4:30 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

POTENSI dan kemampuan muzik Rungus moden untuk bertapak padu dalam persada seni Sabah semakin berkembang, dan ia mempunyai masa hadapan yang sangat cerah untuk maju bersama-sama dengan muzik etnik kaum lain di sini.

Dengan teknologi yang semakin canggih yang mudah diaplikasi dan bakat terserlah penggiat anak seni Rungus masa kini, tidak mustahil mereka akan setanding dan berdiri sama tinggi dengan bakat etnik lain di negeri ini.

Cuma ketika lagu-lagu dan muzik Rungus moden semakin berkembang, aktivis muzik Rungus semakin bimbang dengan trend di mana muzik Rungus genre tradisional dan etnik semakin dilupakan oleh generasi baru.

“Ramai tidak tahu keunikan muzik dan lagu-lagu etnik Rungus. Ini mungkin disebabkan tidak banyak pendedahan dibuat dan kurangnya usaha untuk mendekati peminat muzik muda akan kehebatan muzik etnik Rungus,” kata aktivis muzik Rungus, Razif Ajip. Razif

SPONSORED CONTENT Daily Express members: Enjoy 1 for 1 signature cocktails and more at Hyatt Centric Kota Kinabalu Kota Kinabalu: DAILY EXPRESS is partnering with Hyatt Centric Kota Kinabalu to offer an exclusive deal for our members. Read more Nama-nama seperti Thomas Logiving yang pernah terkenal dengan lagu Kada Potirio Romou Mato Nu (Jangan biarkan airmata mu mengalir), Frankie Pulian (Sumulok Bavang Ponudaan) dan Helex Pele Sumbing (Samod Toh) pernah menjadi siulan bukan sahaja dalam kalangan peminat muzik Rungus.

Lagu balada yang paling disukai ketika ini yang dinyanyikan bekas juara Sugandoi mendiang Ferrady Okuling bertajuk Samod Dit Tondu adalah contoh karya anak seni Rungus yang sudah terkenal dalam kalangan penggiat seni bukan Rungus.

Kata Razif, muzik Rungus ada keunikan yang tersendiri dan jika keunikan itu dapat dikenal pasti dan digunakan dengan sebaiknya, sesuatu karya Rungus yang baik akan dapat dihasilkan.

Katanya, masalah utama penggiat seni muzik etnik Rungus ialah penerimaan masyarakat masa kini yang sudah tidak mementingkan muzik etnik. Kebanyakan mereka, terutama golongan remaja terlalu terpengaruh dengan muzik moden.

“Apabila itu berlaku maka permintaan terhadap muzik etnik pun kurang dan tidak mendapat perhatian,” katanya, terdorong untuk melakukan sesuatu untuk memelihara genre muzik etnik Rungus supaya terus berkembang.

Menyedari masalah itu, Razif sendiri bersungguh-sungguh mendalami seni muzik etnik Rungus, termasuk menyertai kumpulan band etnik band. Di sini dia membuat muzik dan lagu kreatif etnik Rungus supaya seiring dengan perkembangan muzik masa kini agar diterima masyarakat terutama golongan muda.

“Saya juga mencari dan mengenal pasti individu yang berminat mempelajari seni muzik etnik Rungus untuk saya ajar ilmu berkaitan seni muzik Rungus. Jika dilihat secara teknikal, lagu etnik Rungus berbeza dengan lagu-lagu suku yang lain di negeri ini. RAZIF bersama rakan beraksi atas pentas.

“Muzik etnik Rungus ialah irama-irama yang dihasilkan dari alat-alat muzik tradisi Rungus seperti Gong, Sundatang, Uruding, Urali, Sompoton dan Tongkungon. Ia dimainkan mengikut melodi lagu-lagu tradisi Rungus seperti Padaha, Mogondi, Sovoli dan banyak lagi,” tambahnya.

Menurut Razif, seni muzik atau lagu Rungus bermula daripada kewujudan ‘Rinait’ yang dinyanyikan oleh Bobohizan dalam ritual. Melodi dan ayat-ayat ‘Rinait’ kemudiannya diambil dan digunakan dalam nyanyian semasa keramaian diadakan.

Alat-alat muzik tradisi pula dimainkan mengikut irama dan lenggok suara yang diambil daripada irama Rinait tersebut. Alat muzik tradisi seperti Sundatang, Uruding/Bungkau, Urali, Sompoton dan Gong perlu dibawa ke peringkat antarabangsa, katanya.

Kolaborasi dengan kumpulan muzik yang lain untuk menghasilkan muzik-muzik Sabah dengan menggabung elemen muzik dan lagu etnik Sabah amat diperlukan.

Razif kini membuat lagu yang berkonsep kebudayaan, pelancongan, perpaduan masyarakat negeri Sabah yang akan disulami dengan irama etnik.

Dia tidak menafikan perkembangan muzik moden dan pop turut mempengaruh muzik dan lagu Rungus yang berubah mengikut perkembangan semasa.

Orang Rungus yang mula-mula mengangkat dan memasuki era moden ialah mendiang Steven Calungad. Muzik dan rentak lagu yang beliau bawakan ialah rentak muzik-muzik tahun 60an.

Menyedari bahawa budaya pop tidak dapat dielakkan, muzik Rungus juga sedikit demi sedikit naik seiring dengan karya kaum lain.

Bermacam-macam genre dicipta mengikut kehendak pencipta dan ia mengikut peredaran muzik masa kini. Lagu Nunuk Ragang sebagai contoh mampu menyaingi karya kaum lain.

“Hanya kesedaran terhadap cinta kepada bahasa dan karya ibunda di kalangan masyarakat Rungus perlu dititik beratkan agar karya-karya Rungus diterima oleh kaum Rungus itu sendiri seterusnya pada kaum lain.

“Kreativiti pencipta untuk menggabung elemen-elemen seperti muzik etnik, lirik berunsurkan kisah tempatan Sabah dan sebagainya diperlukan untuk menarik perhatian umum.

“Pencipta juga perlu memperluaskan skop muzik dan lagu seiring dengan peredaran masa kini. Kesedaran cintakan lagu dan muzik bangsa sendiri juga sangat diperlukan untuk menggalakkan dan melahirkan lebih banyak lagi pengiat seni muzik Rungus,” katanya.

Razif mempunyai kumpulan band iaitu Rapot Sanggong yang membawa lagu-lagu dan muzik tradisi kaum Rungus yang digabungkan dengan alat muzik moden. Lagu-lagu mereka juga digabung menggunakan lirik moden dan Rinait.

Irama moden dan irama tradisi Rungus sentiasa ada dalam setiap karya Rapot Sanggong. Kumpulan ini yang diketuai Charles Osingko sudah mendapat pelbagai pengiktirafan.

Sebagai satu-satunya ahli dalam band yang mengkhususkan irama dan muzik etnik Rungus, Rafiz membawa pulang banyak hadiah dalam pertandingan genre etnik yang diadakan.

Antara kemenangan yang diraih Rapot Sanggong ialah tempat kedua pertandingan muzik etnik kreatif di Mountain Muzik Festival di Kundasang, tempat ketiga Pertandingan Muzik dan Lagu Tradisional anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara 2017, juara Pertandingan Battle Band Pesta Magahau Negeri Sabah tahun 2018 dan banyak lagi.

Rapot Sanggong selalu dijemput mengadakan persembahan peringkat negeri seperti Pesta Kaamatan, Semarak Uniti Negeri Sabah, Rimba Muzik Festival, North Borneo Rainforest Festival, Rhythm of Kinabalu Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Razif berbangga bahawa penggiat seni muzik dan suara Rungus sudah ada pelapis daripada peringkat kanak-kanak, remaja, dewasa dan golongan veteran semuanya ada yang masing-masing mempelopori bidang ini.

“Saya juga tahu ada kumpulan band di peringkat sekolah rendah dan menengah. Boleh dikatakan penggiat seni muzik dan suara Rungus agak banyak,” katanya menambah bahawa kerajaan juga membuka peluang kepada penggiat seni melalui pelbagai program yang disediakan.

Kerajaan, katanya, menawarkan pembelajaran di peringkat tinggi kepada sesiapa yang berminat manakala penyanyi dan pemuzik yang berpotensi diserap ke dalam bidang muzik profesional sehingga ada yang sudah bergelar guru muzik dan pensyarah muzik.

Katanya, kerajaan juga menawarkan pembelajaran di peringkat sekolah rendah bagi mengajar dan memperkenalkan asas muzik kepada murid. Asas ini boleh dikembangkan apabila memberi tumpuan kepada muzik etnik Rungus.

Oleh itu, potensi dan kemampuan muzik Rungus pada masa hadapan adalah sangat cerah. Teknologi yang sedia ada dan bakat penggiat seni Rungus masa kini sangat memberangsangkan. Jika digabung ia akan memberikan hasil yang sangat baik.

“Kerajaan juga memberi banyak peluang dan ruang kepada kami untuk memperkembangkan karya tradisi dan etnik. Pelbagai NGO juga selalu mengadakan acara yang memberi kami peluang beraksi.

“Cuma masalah utama penggiat seni muzik etnik Rungus ialah penerimaan masyarakat masa kini yang sudah tidak mementingkan muzik etnik. Kebanyakan mereka terutama golongan remaja terlalu terpengaruh oleh muzik moden.

“Apabila itu yang berlaku maka permintaan terhadap muzik etnik pun kurang dan tidak mendapat perhatian,” katanya.

View Original Article