Seorang aktivis mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendakwa menerima notis siasatan polis susulan penglibatannya dalam perhimpunan aman dan sidang media yang mengetengahkan isu rasuah serta krisis air di kampus.
Fadhil, yang menggunakan nama akaun TikTok @fadhil.uk, berkongsi sebuah video memaparkan dirinya menerima Notis 111 daripada pihak polis. Notis itu dipercayai dikeluarkan berikutan laporan yang dibuat oleh Setiausaha Sulit kepada Canselor UMS, Tun Musa Aman, yang juga Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Menurutnya, notis tersebut berkait dengan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0 yang dianjurkan bersama kumpulan mahasiswa lain pada hujung minggu lalu. Perhimpunan itu bertujuan membangkitkan isu integriti pentadbiran dan kebajikan asas pelajar di kampus.
Fadhil mendakwa krisis air di UMS semakin meruncing sejak Tun Musa Aman dilantik sebagai Canselor, sehingga menjejaskan rutin harian mahasiswa. Katanya, masalah ini sudah lama berlarutan tanpa penyelesaian tuntas daripada pihak universiti.
“Saya tak gentar dengan sebarang tekanan, sama ada dalam bentuk laporan polis, prosiding mahkamah, atau ancaman penjara,” tegasnya dalam nada lantang.
Beliau turut mengaitkan pelbagai isu lain seperti gaji minimum yang masih rendah, kadar pengangguran tinggi, kelewatan projek infrastruktur asas, dan jalan rosak sebagai kesan daripada salah urus serta rasuah yang berakar di negeri Sabah.
“Apalah makna MAHASiswa jika semua itu tidak diangkat dan terus didiamkan. HIDUP MAHASISWA! HIDUP RAKYAT! HANCUR RASUAH!” katanya.
Setakat ini, pihak pengurusan UMS dan Pejabat Canselor belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut.
Di ruangan komen, rata-rata mahasiswa menyatakan sokongan terhadap tuntutan Fadhil, sambil menyuarakan keperluan segera menyelesaikan isu asas seperti bekalan air yang stabil di kampus.
The post Aktivis UMS terima notis polis selepas bangkit isu rasuah & krisis air kampus appeared first on The Reporter.


