
Kota Kinabalu: Penyokong diberi amaran supaya tidak menjadikan perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di antara Sabah FC dan Kuching City FC sebagai platform politik di Stadium Likas malam ini.
Ketua Penyelaras Venue Sabah FC, Shamsuddin Mohd Shah berkata dalam satu kenyataan pada Khamis bahawa bendera atau sepanduk politik tidak dibenarkan di stadium.
“Sebarang bentuk sepanduk, bendera, slogan dan pakaian yang mempunyai unsur politik, bangsa, agama dan provokasi dilarang keras daripada dipasang, dibawa masuk atau dipakai di dalam dan di kawasan stadium semasa perlawanan Piala Malaysia bagi mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) baru-baru ini.
“Larangan itu juga termasuk sebarang aktiviti kempen pilihan raya, pengedaran risalah parti atau aktiviti mengagihkan sebarang bentuk bantuan politik dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang gagal mematuhi peraturan ini,” katanya.
Menurut beliau anggota keselamatan Sabah FC dan pihak berkuasa stadium akan menjalankan pemeriksaan menyeluruh bagi menghalang barang larangan itu daripada dibawa masuk ke dalam stadium.
Beliau juga menggesa semua penonton agar datang ke stadium seawal jam 6.30 petang untuk mengelak kesesakan kerana perlawanan dijadualkan bermula pada jam 8.15 malam dengan kira-kira 20,000 penyokong dijangka akan hadir.
“Kami sekali lagi menggalakkan penonton yang hadir agar memakai pelitup muka sepanjang perlawanan.
“Mereka juga tidak dibenarkan untuk membawa botol minuman, payung dan topi keledar ke dalam stadium,” katanya.
Sementara itu, Sabah FC boleh menjangkakan tentangan sengit daripada pasukan Liga Premier itu walaupun mempunyai kelebihan satu gol menjelang perlawanan tersebut.
Mereka menewaskan pasukan pelawat 1-0 pada aksi pertama yang diadakan di Stadium Negeri di Kuching Sabtu lepas dengan satu-satunya gol dijaringkan oleh Baddrol Bakhtiar.
Penyerang Kuching FC dari Liberia, Aby Kamara sudah memberi amaran awal kepada Sabah bahawa pasukannya masih mempunyai peluang dan tidak akan menyerah tanpa berjuang.
“Sabah tentunya merupakan pasukan pilihan di atas kertas tetapi ia bukan kedudukan yang selesa untuk mereka.
“Kami berjuang dengan baik minggu lalu dan kami dihukum oleh kesilapan kecil. Kami mempuyai semangat juang yang sangat tinggi dan kali ini kami akan mencari kemenangan dan jika Sabah boleh menjaringkan satu menentang kami di laman sendiri, kenapa kami tidak boleh melakukan perkara sama,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

